36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Ribut tak menjadi, nyiur condong tegak kembali

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Saudara Pengarang,

Bidalan orang tua-tua, apabila nyiur condong, bukan sahaja kera, kura-kura pun suka meniti. Itulah gambaran polemik yang berlaku dalam Parlimen pada 26 Julai lepas.

Jelaslah kelihatan bagaimana pihak-pihak tertentu bagai ikan menyambar umpan, segera menangguk di air yang keruh. Dengan ghairahnya mereka berdrama dan menampakkan niat sebenar selama ini, iaitu mahu merampas kuasa.

Maka terselongkarlah nawaitu sebenar kenapa mereka terus memaksa sidang Parlimen diadakan seberapa segera, di saat negara menghadapi penularan Covid-19 paling tinggi. Saat di mana semua orang dikawal ketat pergerakannya di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun apabila Parlimen bersidang, mereka langsung tidak peduli malah tidak pun berminat membincangkan bagaimana isu Covid-19 diuruskan, dan bagaimana ekonomi patut dipulihkan. Langsung tidak ada usaha ke arah itu. Apa yang mereka asak adalah soal politik dan menggugat kedudukan kerajaan.

Dalam tempoh seminggu sahaja, dari hari persiapan persidangan Parlimen sehingga 30 Julai, sudah 70 kes disahkan positif di Parlimen. Entah berapa ramai kontak rapat mereka. Entah berapa ramai lagi bakal positif Covid-19 dalam tempoh beberapa hari lagi. Berapa ramai pula yang membawa pulang virus Covid-19 ke kawasan masing-masing di seluruh negara.

Apa yang mereka peduli hanyalah bagaimana kerajaan boleh dijatuhkan dan bagaimana mereka boleh merampas kuasa serta jawatan Perdana Menteri.

Sebenarnya, negara tidak pun menghadapi krisis sebaliknya kerajaan kekal stabil, jauh sama sekali dari krisis Perlembagaan.

Malah negara juga tidak menghadapi krisis kepercayaan. Apa yang pasti setakat ini, tiada seorang pun boleh menyatakan bahawa mereka mempunyai sokongan majoriti kecuali Perdana Menteri.

Pembangkang kelihatan begitu ghairah mahu mengheret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke dalam game plan mereka. Mereka merasakan “ini kali lah”. Berkali-kali nama Seri Paduka Baginda diguna dalam hujah mereka di Parlimen, walaupun ia jelas tidak dibenarkan di bawah arahan Parlimen.

Kita tahu perwatakan Tuanku, sebagai seorang raja yang sangat arif dan berpengalaman, Tuanku tidak begitu. Baginda tidak akan berpolitik atau berparti, jauh sama sekali mahu menyokong usaha mana-mana individu atau parti di luar kerajaan.

Apatah lagi parti-parti dan individu tertentu di mana baginda amat arif menilai track record dan latar belakang mereka. Apa yang pasti baginda kekal sebagai Raja Memerintah seperti mana termaktub dalam Perlembagaan.

Baginda sebagai seorang Raja Melayu dan payung yang menaungi kedudukan agama Islam, tidak akan melibatkan diri dengan sesuatu yang memudaratkan kuasa Melayu dan kedudukan agama Islam negara ini, yang terbukti pernah terancam dan diancam pihak tertentu.

Sebenarnya kerajaan khususnya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa mempunyai hubungan yang baik, rapat dan akrab dengan Yang di-Pertuan Agong hinggalah ke saat ini.

Malahan, kerajaan dan Perdana Menteri mahu menyempurnakan pandangan dan titah Seri Paduka Baginda jua, maka kerajaan membuat keputusan tidak menasihatkan perisytiharan Proklamasi Darurat yang baharu, selepas tamatnya Proklamasi Darurat sekarang pada 1 Ogos, malah mengadakan sidang Parlimen selari dengan pendirian Seri Paduka Baginda.

Begitu juga pembatalan semua Ordinan yang dibuat semasa berkuatkuasanya Proklamasi Darurat, diputuskan untuk dibuat pembatalan seberapa segera, dengan menasihati Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pembatalan, sebelum seterusnya diwartakan. Semuanya atas memenuhi pandangan Seri Paduka Baginda.

Cuma tidak semena-mena telah berlaku polemik di Parlimen, apabila ada pihak mentafsirkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) sebagai kononnya telah membatalkan ordinan tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Sedangkan, yang sebenarnya menteri berkenaan, Datuk Seri Takiyuddin Hassan cuma mahu memaklumkan pendirian dan keputusan mesyuarat Kabinet, tanpa memperincikan proses yang sedang berjalan, iaitu masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Semua tahu dan faham bahawa Seri Paduka Baginda berhak memberi pandangan balas atas setiap keputusan kerajaan itu. Tidaklah salah kerajaan meneliti apa kehendak dan pandangan Tuanku. Sekiranya ada perbezaan dalam kaedah untuk menamatkan kuatkuasa Ordinan, ia masih boleh dirunding dan dibincangkan, agar kedudukan dan kemuliaan Raja kita terpelihara serta kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan dipertahankan. Itulah amalan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) selama ini.

Sesungguhnya, inilah pendirian kerajaan. Tuduhan ‘kerajaan derhaka’ hanyalah satu lagi ejekan rekaan sepertimana tuduhan ‘Kerajaan Gagal’, kedua-duanya datang dari kelompok yang sama, berbaur mainan politik.

Perlu diketahui, Perdana Menteri mengadap Yang di-Pertuan Agong setiap hari Rabu, sebelum mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Kabinet. Setiap mesyuarat Kabinet, beliau tanpa gagal akan memulakan dengan memaklumkan segala titah pandangan Seri Paduka Baginda. Amalan Ini tidak pun dilakukan oleh kebanyakan Perdana Menteri terdahulu. Muhyiddin sentiasa mengarahkan Kabinet untuk melaksanakan segala titah dan pandangan Tuanku.

Dalam isu pembatalan ordinan ini juga begitu. Tiada masalah pun di sisi kerajaan. Segala-galanya perlu menepati undang-undang.

Pada 21 Julai, keputusan dibuat dalam mesyuarat mingguan Kabinet. Pada 22 Julai, Peguam Negara menyiapkan Draf Ordinan (pembatalan). Kemudian pada 23 Julai, Muhyiddin mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong.

Seterusnya pada 24 Julai, Seri Paduka Baginda menitahkan Peguam Negara dan Menteri Undang-Undang mengadap baginda. Pada 25 Julai pula adalah hari Ahad. Pada 26 Julai sidang Parlimen bermula dan di situlah Takiyuddin didesak pembangkang untuk mengetahui pendirian Kerajaan, dan Menteri Undang-Undang memaklumkan perkembangan terbaru.

Malah perlu diketahui, iaitu apabila isu itu cuba dikelirukan, Perdana Menteri tanpa berlengah pada keesokan harinya iaitu pada 27 Julai, terus mengadap Seri Paduka Baginda bersama-sama Peguam Negara untuk menerangkan perkara sebenar. Malah Muhyiddin turut memohon maaf sekiranya apa yang disampaikan di Parlimen, menimbulkan kekeliruan, dan ia boleh diperjelaskan. Jadi, di mana penderhakaannya?

Hasil daripada mengadap itu, Yang di-Pertuan Agong ada menjelaskan pandangan baginda kepada Muhyiddin dan beliau membawanya ke Kabinet minggu berkenaan yang diadakan pada hari Jumaat, 29 Julai.

Perlu diketahui, pada pagi Jumaat itu, Muhyiddin sekali lagi mengadap Seri Paduka Baginda sebelum mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet.

Kabinet semestinya membincang segala yang berlaku. Dan sekali lagi mengulangi komitmen untuk terus menjaga kemuliaan dan kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong serta melindungi teras dan prinsip Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Maka amat jelas, kerajaan ini yang merupakan kerajaan bertunjangkan dan berteraskan parti Melayu dan Bumiputera yang diperkasakan dengan muafakat pelbagai kaum, tidak sama sekali mengizinkan institusi Raja-raja Melayu diderhakai atau diperalatkan oleh mereka yang pernah menderhaka.

Atas dasar inilah kerajaan ini terbentuk, setelah 22 bulan melihat bagaimana kedaulatan Raja-raja Melayu diancam dengan cara yang belum pernah dilihat berlaku sejak negara merdeka.

Atas dasar inilah juga 40 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), mengikrarkan sokongan berterusan kepada Kerajaan PN serta bersetia kepada Yang di-Pertuan Agong.

Nyiur yang condong, tegak kembali. Kera tidak boleh meniti lagi…

PEMERHATI DARI DALAM
Kuala Lumpur

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan