32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Prestasi perdagangan negara meningkat 29.3 peratus pada Jun

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Prestasi perdagangan negara mengekalkan momentum kenaikan pada Jun 2021 dengan jumlah perdagangan meningkat 29.3 peratus kepada RM188.7 bilion berbanding Jun 2020.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah eksport merekodkan peningkatan tahun ke tahun yang ke-10 bulan berturut-turut sejak September 2020, mencatatkan pertumbuhan kukuh 27.2 peratus kepada RM105.47 bilion.

Beliau berkata, ini merupakan kali ketiga nilai eksport melebihi RM100 bilion direkodkan. Import naik 32.1 peratus kepada RM83.23 bilion dan lebihan dagangan berkembang 11.7 peratus kepada RM22.24 bilion.

“Perdagangan, eksport dan import merekodkan nilai bulanan kedua tertinggi setakat ini selepas bulan April 2021. Ini juga merupakan nilai bulanan tertinggi dicatatkan bagi bulan Jun dan pertumbuhan dua digit bagi lima bulan berturut-turut.

“Jumlah perdagangan bagi suku kedua tahun 2021 meningkat 39 peratus kepada RM550.4 bilion, berbanding suku kedua 2020,” katanya dalam Laporan Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) ke-64.

Tengku Zafrul berkata, nilai eksport juga melonjak 44 peratus kepada RM303.37 bilion dan import meningkat 33.3 peratus kepada RM247.02 bilion.

Beliau berkata, ini merupakan nilai suku tahunan yang tertinggi pernah dicatatkan bagi perdagangan, eksport dan import setakat ini.

“Lebihan dagangan sebanyak RM56.35 bilion direkodkan pada tempoh ini, melonjak 122.7 peratus,” kata beliau.

Tambah beliau, pada separuh pertama tahun 2021, jumlah perdagangan Malaysia telah melepasi RM1 trilion, tempoh tersingkat pernah dicatatkan bagi mencapai tanda aras ini.

Katanya, perdagangan bernilai RM1.056 trilion, berkembang 26 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas manakala eksport pula naik 30.2 peratus kepada RM585.56 bilion dan import meningkat 21.1 peratus kepada RM470.53 bilion.

Ini merupakan nilai separuh tahun yang tertinggi direkodkan bagi perdagangan,
eksport dan import. Lebihan dagangan juga melonjak 87.7% kepada RM115.04 bilion,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Malaysia kecewa kuasa veto diguna halang Palestin anggotai PBB

MALAYSIA menyuarakan rasa bimbang dengan penggunaan veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menghalang kemasukan Palestin sebagai...

Lagi Artikel Berkaitan