27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Krisis politik: 175 NGO rayu istana campur tangan

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Sebanyak 175 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merayu campur tangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu untuk menitahkan agar pemimpin-pemimpin politik mengutamakan nyawa rakyat ketika menghadapi pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) yang mewakili semua NGO tersebut berkata, rayuan itu bertujuan untuk menghentikan percakaran antara para pemimpin parti-parti politik di negara ini dan meminta semua pemimpin yang berkenaan itu supaya memberi keutamaan kepada nyawa rakyat bukannya pada percaturan kuasa.

Mereka bimbang sekiranya kerajaan yang ada ini terbubar, maka tiada mana-mana pihak yang memperolehi majoriti untuk membentuk kerajaan.

“Sekiranya keadaan ini berlaku ia sudah pasti akan menjejaskan dan meletakkan negara dalam keadaan yang amat tidak stabil.

“Ini akan menjejaskan usaha dan fokus kerajaan menagani Covid-19,” kata mereka dalam kenyataan media bersama hari ini.

Rayuan itu juga adalah bagi menjunjung kasih titah nasihat Sultan Selangor, Sultan Johor dan Pemangku Raja Pahang yang menitahkan agar pemimpin berhenti daripada perebutan kuasa dan mengutamakan kemaslahatan rakyat dan perpaduan ummah.

NGO-NGO berkenaan menambah, kerisauan dan kekecewaan yang dizahirkan oleh baginda RajarRaja Melayu berkaitan dengan krisis politik yang tidak berkesudahan ini perlu ditangani oleh semua pihak.

Mereka amat sedih dan gusar kerana kebelakangan ini pemimpin-pemimpin politik terus-menerus sibuk berebut kuasa dalam keadaan di mana negara sedang bergelut dengan kes-kes positif Covid-19 yang meningkat sehingga lebih daripada 20,000 kes sehari dengan kes kematian juga sentiasa berada dalam lingkungan tiga angka.

“Seharusnya pada masa sekarang semua pihak berganding bahu dan berkongsi ikhtiar bagi memastikan Covid-19 dapat dibentuk, program imuniti berkelompok dapat dicapai dan ekonomi negara dapat digerakkan semula.

Advertisements

“Jika semua itu dapat dilakukan secara bersama dan penuh istiqamah patik sekelian percaya negara ini akan kembali pulih seperti sediakala dalam tempoh yang sepatutnya,” jelas mereka.

Malangnya, kata mereka, pemimpin-pemimpin politik lebih mengutamakan ego masing-masing yang berteraskan semata-mata kepada kepentingan kepartian dan kelompok bukannya kesejahteraan rakyat terbanyak.

NGO-NGO berkenaan memberitahu, mereka tidak menggunakan Parlimen sebagai tempat untuk mencari kata sepakat bagi memerangi musuh bersama, sebaliknya merosakkan demokrasi dengan cara menyalahgunakannya bagi kepentingan sendiri.

“Patik sekalian berpendapat isu pertukaran Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri, atau pertukaran kerajaan bukanlah perkara yang sesuai dilakukan pada masa ini kerana ia hanya akan menambahkan lagi kecelaruan sedia ada.

“32 juta rakyat Malaysia tidak patut dipertaruhkan nyawanya hanya kerana memuaskan nafsu segelintir ahli politik yang tamakkan kuasa,” kata mereka.

Mereka berkata, tiada jaminan bahawa pertukaran Perdana Menteri atau kerajaan pada sekarang akan dapat mempercepatkan langkah membasmi Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Apa yang pacal patik sekelian khuatiri adalah ia akan menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk dan nasib rakyat akan menjadi lebih buruk.

“Atas sebab-sebab di atas maka patik sekalian memohon agar Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku dapat menamatkan pertelingkahan yang merugikan agama, bangsa dan negara ini,” kata mereka. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

UM mohon maaf berhubung kenyataan penceramah pro-Israel

UNIVERSITI Malaya (UM) memohon maaf berhubung kenyataan kontroversi seorang penceramah jemputan pro-Israel yang menuduh tindakan ahli politik Malaysia menyokong...

Lagi Artikel Berkaitan