CYBERJAYA – Jumlah pemberian vaksin harian COVID-19 di seluruh negara kembali melepasi 500,000 dos semalam, selepas empat hari berturut-turut merekodkan jumlah di bawah paras tersebut.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sebanyak 514,674 dos telah diberikan meliputi 220,839 untuk dos pertama manakala bagi dos kedua sebanyak 293,835 sehingga tengah malam tadi.
“Ini menjadikan jumlah pemberian vaksin COVID-19 sehingga 5 Ogos ialah sebanyak 23,161,255 dos dengan 15,162,424 orang menerima dos pertama manakala 7,998,831 lagi menerima dos kedua,” katanya hari ini.
Sementara itu, berdasarkan data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vakisn COVID-19 (JKJAV), sehingga semalam 46.6 peratus penduduk di negara ini sudah mendapat suntikan vaksin dos pertama manakala 24.5 peratus lagi dos kedua.
Daripada jumlah itu, Lembah Klang mencatat jumlah vaksinasi tertinggi dengan 72.5 peratus daripada jumlah penduduknya sekurang-kurangnya sudah mendapat suntikan dos pertama.
Untuk rekod peratusan vaksinasi Lembah Klang meliputi negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Negeri-negeri lain yang peratusan vaksinasi melebih 40 peratus ialah Labuan (65.8 peratus), Sarawak (62 peratus), Negeri Sembilan (55.2 peratus), Perlis (46 peratus) dan Melaka (40 peratus).
Manakala lain-lain negeri masih di bawah 40 peratus daripada jumlah penduduknya.
Berikut jumlah pemberian vaksin bagi tempoh 1 Ogos hingga 5 Ogos:
1 Ogos : 480,122
2 Ogos : 468,526
3 Ogos : 483,368
4 Ogos : 494,214
5 Ogos : 514,674
Jumlah : 2,440,904
– Edisi 9