25 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Hanya Muhyiddin ada pengalaman hadapi COVID-19

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh TAN SRI NORDIN KARDI

BAHAWASANYA saya berterima kasih sangat kepada beberapa orang pelawat dinding merdeka saya yang menegur saya dengan baik bahawa, kata mereka kebelakangan ini saya seperti membela kerajaan gagal.

Banyak menyoal saya kenapa saya membela pihak yang gagal menunaikan kepentingan rakyat. Bagus juga teguran itu, sekurang-kurangnya saya diingatkan supaya selalu menyemak fikiran saya kalau kalau saya silap.

Kawan-kawan karib saya sendiri yang menyokong UMNO pula kata saya macam kacang lupakan kulit kepada UMNO. Itu tak mengapa, kerana saya memang tak pernah menjadi ahli apa apa parti politik.

Namun saya berterima kasih kepada kerajaan UMNO kerana banyak memberi saya kemudahan hidup dan membuka banyak jalan untuk mengubah kehidupan rakyat daripada kemiskinan kebendaan dan kemiskinan fikiran kepada suatu keadaan yang lebih baik melalui perancangan dan perlaksanaan program ekonomi dan pendidikan.

Walaupun saya bukan ahli UMNO, tanpa ragu ragu saya akan tampil membela UMNO jika puluhan tahun pemerintahan negara di bawah UMNO tidak diberi gambaran yang adil.

Kata mereka, tapi “Pak Din dah lain dah.”

Apa yang saya fikirkan pun untuk agama, bangsa dan negara saya juga.

Kita sedang dalam bencana alam. Lazimnya manusia apabila perlu berhadapan dengan bencana alam, mereka lupa tentang perkara perkara lain, melainkan berfikir dan berusaha untuk membebaskan diri, keluarga, bangsa dan apa saja berkaitan manusia daripada dimusnahkan oleh bencana itu.

Mereka pasrah kepada apa sahaja keputusan pihak yang bertanggungjawab. Tak kira orang kerajaan atau orang pembangkang, akan sedia bekerja bahu membahu. Mereka mungkin hanya akan bising dan menyoal selepas atau pascabencana.

Mereka juga akan lupa perbezaan agama, kulit, bangsa kerana setiap mereka ketakutan dengan bencana. Semasa Tsunami, hanya beberapa orang mati dan masa itu semua orang bersatu nak tolong.

Kali ini ribuan orang mati dan lebih satu juta cedera kena jangkitan tetapi orang masih bergaduh politik, caci mencaci, tuduh menuduh seperti tak ada apa apa terjadi. Mereka seperti tak takut apa-apa. Tak ramai yang angkat sekurangnya satu jari berusaha mencari jalan, selain jari telunjuk menunjuk salah sana, salah sini. Tuduh orang itu tuduh orang ini.

Banyak juga orang yang masih taksub memuja tokoh itu tokoh ini sebagai paling layak memimpin negara. Label kerajaan semasa gagal. Tak tau kerajaan mana yang tak gagal.

Kerajaan sekarang tak boleh dibanding dengan kerajaan Mahathir UMNO, Kerajaan Abdullah Badawi, Kerajaan Najib dan kerajaan Mahathir Pakatan Harapan. Semua kerajaan lain tak ada pengalaman menghadapi COVID-19.

Kalau Mahathir berjaya membangun fizikal negara itu bukan COVID. Kalau Abdullah berjaya memperbaiki jentera pentadbiran negara itu bukan COVID. Kalau Najib berjaya bawa masuk pelaburan besar-besaran ke Malaysia, itu bukan COVID.

Jika bekas Perdana Menteri itu yang jadi ketua sekarang pun belum tentu mereka berjaya kerana keadaan sentiasa volatile berubah-ubah.

Varian lama belum selesai, varian baharu pula muncul. Baik hari ini, buruk besok. Setakat yang masih hidup sekarang tak ada siapa yang pernah hadapi wabak seperti ini. Semasa Bubonic Plague dengan angka kematian 200 juta semua yang ada ini belum lahir.

Hanya Muhyiddin Perdana Menteri yang ada pengalaman menghadapi COVID-19, bukan Najib, bukan Abdullah, bukan Mahathir dan bukan bakal pengganti Muhyiddin yang belum diturunkan ke bumi.

Advertisements

Muhyiddin sahaja seorang yang sudah sakit, pening, muntah, pengsan lalui lebih setahun susah senang mengurus COVID-19. Yang lain hanya tukang komen dan tukang kondem.

Tiada seorang pun baik Najib, Anwar, Mat Sabu atau lain lain yang menubuhkan pasukan pencari solusi, kecuali Tun Mahathir. Beliau menubuhkan Kabinet bayangan mencari solusi menghadapi COVID-19. Beliau mencadangkan Majlis Pemulihan Negara.

Yang lainnya, saya masih belum nampak ada Kabinet bayangan yang bekerja seperti itu khusus untuk COVID-19. Yang ada hanya cerita melabel gagal dan berhujah membuktikan kegagalan.

Kenapa tak sama bersungguhnya melabel gagal dan mencari bukti gagal itu dengan usaha mengemukakan blueprint penyelesaian COVID-19 yang komprehensif dan lebih superior daripada program kerajaan Muhyiddin.

Kemukakanlah macam suatu kitab untuk tatapan rakyat. Sudah dua tahun dikatakan Muhyiddin gagal dan sudah dua tahun juga tukang label tidak kemukakan solusi. Kalau dua tahun ini tukang label bekerja bersungguh membina solusi tentu telah terhasil satu tesis bertajuk “Solusi komprehensif mengurus COVID-19 semasa bencana dan pascabencana.”

Saya fikir rakyat bukan kisah sangat siapa jadi Perdana Menteri pun. Muhyiddin ke, Najib ke, Anwar ke siapa ke? Kalau ada pun penolakan hanya peringkat awal saja.

Rakyat hanya nak pemimpin tampil dengan penyelesaian bukan tampil bagi menambah kusut keadaan. Rakyat mahu diselamatkan nyawa mereka dan pekerjaan mereka nanti dikembalikan selepas bencana.

Sesiapa sahaja turun tak kira setinggi langit pun kedudukan, rakyat harap turunlah dengan penyelesaian yang ultimate bukan menambah kusut keadaan.

Setiap pemimpin di Parlimen dan jentera kerajaan di jabatan-jabatan diharapkan bersatu hati bantu cari penyelesaian, bukan berpuak-puak dan berperang untuk kepentingan lain.

Perdana Menteri dan para Menteri bertanggungjawab mencari jalan kerana itu rakyat menyokong atau reda sepenuhnya mereka mendapat imbuhan dari perbendaharaan negara.

Jika tak bekerja dengan setimpal imbuhan itu tak halal. Begitu juga pembangkang. Mereka juga dapat imbuhan dari Perbendaharaan Negara.

Kalau bekerja setakat menegakkan point of order, pendapatan mereka pun tak halal. Setakat berhujah point of order pelajar darjah enam pun pandai, jika dilatih mengulang ulang, tak perlu jadi ahli Parlimen

Jangan fikir COVID-19 sudah nak tamat. Belum tentu. Beberapa pandemik membunuh angka kematian lebih 100 juta, COVID-19 belum lagi membunuh sebanyak itu.

Pandemik pernah melanggar Eropah hingga membunuh dua pertiga penduduk Eropah mati. Setiap tiga orang dua mati. Kita di Malaysia baru seorang dalam setiap 30. Masih mampu bergaduh lagi. Namun perjalanan COVID-19 belum berhenti. Belum tamat.

Saya nak lihat solusi. Siapa Perdana Menteri itu tak mengapalah. Sesiapa nak label saya apa-apa pun saya terima saja. Saya tak risau apa-apa sebab saya bukan nak jadi menteri, saya bukan nak jadi perdana menter.

Saya hanya nak jadi orang biasa biasa saja, jadi bujang selamat dan sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada setiap yang pernah jadi kerajaan kerana saya masih diizinkan bebas bersuara.

• Tan Sri Dr Nordin Kardi adalah Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah. Artikel ini dipetik daripada Facebook beliau.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan