KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah situasi negara yang bergelut dengan wabak COVID-19 bukan masa sesuai untuk berebut kuasa dan bersengketa sesama sendiri.
Memetik laporan BH Online, titah baginda, inilah masanya yang memerlukan semua pihak untuk bersatu padu tanpa mengira anutan agama, warna kulit, apatah lagi fahaman politik.
“Ini bukanlah masanya untuk kita merebut kuasa, bersengketa dan banyak bicara tanpa berbuat apa-apa. Kita harus menang peperangan dengan musuh yang tidak kelihatan ini.
“Dalam keadaan wabak pandemik COVID-19 yang semakin meningkat ini, sikap bersatu padu dan tolong menolong amatlah penting untuk kita amalkan,” titah baginda sempena majlis perasmian sambutan Maal Hijrah Peringkat Pahang Tahun 1443 Hijrah 2021 ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’ secara dalam talian, hari ini.
Mengenai wabak COVID-19, baginda bertitah, umat Islam harus menerima ujian penularan wabak pandemik yang dihadapi ketika ini dengan keyakinan bahawa ia adalah ketentuan dan ujian daripada Allah SWT.
Sehubungan itu, titah baginda, hanya kepada Allah SWT, umat Islam memohon doa supaya dijauhkan daripada penyakit dan wabak terbabit.
“Di samping itu, sebagai umat Islam, wajib untuk tidak berputus asa serta sentiasa berusaha untuk mencari langkah penyelesaian terbaik,” titah baginda.
Baginda menyeru semua pihak termasuk kerajaan negeri Pahang, agensi kerajaan, wakil rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta, penghulu dan ketua kampung serta jawatankuasa masjid dan surau sentiasa cakna kepada rakyat yang memerlukan bantuan ketika pandemik.
“Saya tidak mahu ada rakyat saya yang berada dalam kelaparan kerana tidak mempunyai makanan serta keperluan asas untuk meneruskan kehidupan.
“Satu bakul makanan yang berharga lebih kurang RM100 mungkin kecil tetapi mereka yang susah, amat besar nilainya,” titah baginda.
Tengku Hassanal bertitah, semangat kejiranan yang tinggi juga dituntut apabila anak yang jauh tidak dapat pulang ke kampung, manakala saudara mara pula tidak dapat berziarah.
“Saya menasihatkan supaya kita sentiasa prihatin kepada kejiranan masing-masing dan memberikan bantuan bersesuaian kepada mereka yang memerlukan,” titah baginda.