30.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 8, 2024

UMNO tak pecat Ahli Parlimen sokong kerajaan PN

Mesti Baca

CYBERJAYA – Andaian kononnya UMNO akan memecat Ahli-ahli Parlimen dari parti itu yang masih menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah tidak benar.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan turut menafikan dakwaan parti mengeluarkan ugutan kepada Ahli-ahli Parlimen terbabit.

Sebaliknya, kata beliau, surat yang diedarkan sebelum ini hanya peringatan dan meminta penjelasan.

“Ada kata surat itu ugutan? Itu bukan ugutan, ia ingatan mengenai tata etika ahli untuk ikut keputusan parti.

“UMNO tidak berhasrat memecat. Kita berhasrat untuk mengingatkan (mereka) kepada Perlembagaan parti. Itu hasrat surat saya yang sudah diberikan kepada mereka, kawan-kawan saya juga,” katanya dalam program temu bual yang disiarkan laman Facebook UMNO Online malam tadi.

Sebelum ini tular mengenai surat bertarikh 5 Ogos lalu yang dikeluarkan pejabat Setiausaha Agung UMNO membangkitkan isu derhaka yang dilakukan kerajaan PN berhubung Ordinan Darurat dan tindakan yang dianggap membelakangi titah Yang di-Pertuan Agong.

Surat itu turut meminta semua Ahli Parlimen UMNO termasuk menteri dan timbalan menteri UMNO menarik sokongan terhadap PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta memberi tempoh sehingga Sabtu lalu, untuk mereka menyatakan pendirian sama ada menyokong keputusan parti atau sebaliknya.

Sementara itu, menyentuh isu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), beliau berkata UMNO juga sudah menyerahkan segala dokumen diperlukan agensi terbabit termasuk minit mesyuarat pada Februari lalu, yang mana Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sudah bersetuju untuk menangguhkan pemilihan parti.

Advertisements

“Dokumen 19 Februari itu sudah buat keputusan (penangguhan pemilihan) di Janda Baik (Pahang), dua orang (MKT) tidak hadir daripada 55 ahli MKT. Perbincangan seterusnya selepas PAU (Perhimpunan Agung UMNO) itulah minit mesyuaratnya.

“Saya yang memohon berjumpa dengan mereka (ROS) dan dibuatkan janji temu dengan baik. Saya rasa mereka akan memberi jawapan balas yang memuaskan,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, keputusan penangguhan pemilihan yang dibuat MKT pada Jun dilakukan secara teratur, biarpun tidak dilakukan dalam mesyuarat fizikal.

“Saya buat secara teratur menggunakan aplikasi WhatsApp. Apa yang kita katakan sebagai dokumen digital yang kita failkan segala dokumen itu, bukan dibentang dalam telefon tapi difailkan.

“Dicetak dan ada kaedah pengiraan tepat dan dipersetujui juga oleh ahli MKT kaedah begitu. Dulu kita mana ada sidang maya, tak pernah terfikir. Jadi dulu resolusi mengguna kertas, sekarang ini menggunakan digital,” katanya.

Beliau berkata, peguam UMNO juga menjelaskan ketika pertemuan dengan ROS, parti menunjukkan beberapa kes di mahkamah yang mana resolusi WhatsApp ini boleh diguna pakai sebagai bukti di mahkamah.

“Bererti ia juga boleh diguna pakai dalam membuat satu keputusan oleh mana-mana pertubuhan,” katanya.

Advertisements

Terkini

10 mahasiswa UM sertai program selamatkan sayur-sayuran

SERAMAI 10 mahasiswa Asasi Sains Sosial dari Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) telah menyertai program menyelamatkan sayur-sayuran dan...

Lagi Artikel Berkaitan