26.1 C
Kuala Lumpur
Friday, March 31, 2023

Bubar DUN Johor jika wakil rakyat bertelagah – Sultan Ibrahim

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, baginda tidak akan teragak-agak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan baginda sekarang.

Baginda bertitah, tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri, bukannya kepentingan rakyat.

“Apabila wabak COVID-19 telah terkawal, saya akan serahkan kepada rakyat untuk memilih Ahli Dewan yang baharu, selepas ini pilihlah betul-betul pemimpin yang jujur dan ikhlas mahu berkhidmat untuk rakyat,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada majlis perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Keempat DUN Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim.

DUN Johor
Sidang DUN Johor bermula hari ini. – Gambar: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sultan Ibrahim turut bertitah menasihatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya menggunakan sesi persidangan kali ini untuk berbincang dan menyusun pelan tindakan bagi menolong rakyat dan membangunkan semula ekonomi Johor.

Baca juga:   Sultan Johor berkenan terima menghadap Perdana Menteri

“Ahli-Ahli Dewan tidak perlu berbahas atau membawa usul yang tidak berkenaan. Awak semua jangan pentingkan diri sendiri. Rakyat di luar sana tengah susah, ada yang kelaparan, ada yang hilang pekerjaan dan ada juga yang sedang bertarung nyawa akibat wabak COVID-19.

“Ini bukannya masa untuk berbalah, tetapi ini adalah masa untuk bersatu dan bekerjasama. Jangan tanya kepada orang lain apa yang telah dibuat untuk bantu rakyat, tetapi lihatlah cermin muka sendiri,” titah baginda.

Baca juga:   Ketepi perbezaan fahaman politik semasa situasi pandemik

Sultan Ibrahim bertitah mengingatkan bahawa DUN adalah tempat untuk berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat serta negeri Johor.

“Jangan cemarkan Dewan saya ini dengan perangai yang buruk. Ini adalah dewan yang mulia bukannya dewan sangkar beruk.

“Ingat pesanan saya Tuan Speaker. Jalankan kerja baik-baik dan suka juga saya ingatkan, yang saya tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah sampai menganggu-gugat negeri dan kerajaan saya,” titah baginda. – EDISI 9

Wartawan

Terkini

4 beradik maut dalam kebakaran dikebumi satu liang

JENAZAH empat beradik yang maut dalam kejadian kebakaran di Kampung Sabak Awor, Muar malam semalam, selamat dikebumikan dalam satu...

Lagi Artikel Berkaitan