32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Tangguh buka sekolah, fokus Pelan Pemulihan Pendidikan

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh DR ANUAR AHMAD

TANGGUHKAN dahulu pembukaan sekolah pada 1 September nanti. Dalam tempoh sekarang, Kementerian Pendidikan sepatutnya lebih fokus kepada usaha membangunkan Pelan Pemulihan Pendidikan Negara yang komprehensif untuk dibentangkan dalam sidang Parlimen pada September nanti.

Dalam tempoh sebulan yang ada, lakukan libat urus dengan semua pihak berkaitan dalam usaha membangunkan Pelan Pemulihan Pendidikan Negara.

Pelan Pemulihan Pendidikan Negara ini akan menjadi sumber utama kepada semua usaha dan tindakan pihak kerajaan dalam memulihkan kembali sistem pendidikan negara yang ‘rosak teruk’ akibat pandemik Covid-19 sepanjang dua tahun lalu.

Sekolah hanya boleh dibuka semula setelah Pelan Pemulihan Pendidikan Negara diluluskan oleh Parlimen. Pelan Pemulihan Pendidikan Negara ini juga akan diselaraskan dengan Bajet 2022 untuk sektor pendidikan yang juga akan dibentangkan di Parlimen.

Tanpa Pelan Pemulihan Pendidikan Negara yang diluluskan oleh Parlimen, pembukaan semula sekolah adalah tindakan yang tidak memberikan kesan positif yang menyeluruh kepada proses pendidikan khususnya di dalam usaha memulihkan kembali keciciran pembelajaran di kalangan murid-murid.

Pelan Pemulihan Pendidikan Negara perlu mempunyai prinsip dan agenda khusus bagi pemulihan pendidikan dan penambahbaikan proses penyampaian sistem pendidikan.

Sekurang-kurangnya tiga agenda besar mesti dimasukkan iaitu memulihkan keciciran murid-murid, meningkatkan pendigitalan pendidikan dan mengubah suai dan menambah prasarana dan infrastruktur pendidikan di sekolah.

Begitu juga dengan semakan kurikulum yang sediaada. Misalnya, kurikulum dan amalan pembelajaran yang mementingkan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan kebersihan perlu dijadikan salah satu program dalam agenda pemulihan pendidikan negara.

Salah satu agenda yang penting dalam Pelan Pemulihan Pendidikan Negara adalah menguruskan keciciran pembelajaran yang telah dialami oleh murid-murid sejak dua tahun yang lalu khususnya kepada murid-murid di tahap satu sekolah rendah.

Begitu juga dengan murid-murid di kelas peralihan sekolah menengah. Kementerian Pendidikan juga perlu menyediakan program khas untuk membantu murid-murid ‘rentan pendidikan’ khususnya murid-murid dari keluarga miskin dan B40.

Kementerian Pendidikan mesti memulakan program pembelajaran hibrid sebagai agenda utama penambahbaikan dalam Pelan Pemulihan Pendidikan Negara. Tambah baik akses Internet di seluruh negara dan segerakan pemilikan peranti dalam kalangan murid-murid.

Perkenalkan secara meluas kemahiran pedagogi digital seperti sibergogi, heutagogi dan gamifikasi kepada guru-guru untuk menjayakan pembelajaran hibrid.

Kementerian Pendidikan sepatutnya menjadikan 2022 sebagai tahun Pemulihan Pendidikan Negara dengan menekankan agenda pemulihan keciciran murid-murid, penambahbaikan infrastruktur dan sistem penyampaian pendidikan serta memperkenalkan amalan pengajaran dan pembelajaran hibrid secara menyeluruh pada semua murid-murid di negara ini.

  • Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan