24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Bajet 2022 fokus lindung, pulih mata pencarian rakyat

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Kementerian Kewangan menetapkan matlamat Bajet 2022 untuk terus melindungi dan memulih kehidupan serta mata pencarian rakyat, membina semula daya ketahanan ekonomi serta memangkin pembaharuan sosioekonomi.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tumpuan Bajet 2022 itu adalah berdasarkan senario negara yang sedang pulih daripada krisis pandemik dan ekonomi dan dirangka berdasarkan keperluan utama.

Menurutnya, bajet berkenaan akan berusaha untuk memastikan tiada pihak yang layak tercicir, sama ada golongan rakyat mahupun perniagaan, dalam menerima bantuan dan sokongan Kerajaan, terutamanya pihak yang teruk terjejas disebabkan PKP yang berpanjangan pada tahun lalu.

“Selain itu, bajet ini juga merupakan pemangkin ke arah pelaksanaan RMKe-12 yang akan memacu pertumbuhan, keterangkuman dan kelestarian ekonomi dalam jangka sederhana, berteraskan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

“Kerajaan sedang melaksanakan pelbagai sesi libat urus dan konsultasi bagi mendapatkan input dan cadangan daripada pelbagai pihak bagi memastikan Bajet yang dirangka adalah komprehensif dan memenuhi aspirasi segenap pihak selaras dengan iltizam Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pra-Bajet 2022 hari ini.

Tengku Zafrul berkata, Kerajaan berharap dengan penerbitan Kenyataan Pra-Bajet berkenaan akan membantu menetapkan tahap ekspektasi rakyat terhadap Bajet 2022 yang dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober ini.

“Bajet 2022 juga akan dijajarkan kepada keutamaan RMKe-12 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada bulan hadapan.

Tengku Zafrul berkata, Bajet 2022 akan meneruskan kesinambungan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi membawa keluar Malaysia daripada kemelut, melindungi serta memulih kehidupan dan mata pencarian pasca pandemik.

Menurutnya, kerajaan juga akan memacu pemulihan bagi sektor ekonomi yang paling teruk terjejas seperti sektor pelancongan dan peruncitan.

“Bajet 2022 turut menumpukan usaha untuk membantu golongan rentan, wanita, orang asli dan kurang upaya supaya tidak terpinggir dalam agenda pemulihan dan pembangunan negara.

Advertisements

“Di samping itu, usaha berterusan bagi melindungi dan mencipta peluang pekerjaan baharu akan terus dijadikan keutamaan,” katanya.

Tambah Tengku Zafrul lagi, bagi membina semula daya ketahanan negara, Bajet 2022 akan menekankan usaha untuk membina semula daya ketahanan sistem kesihatan negara untuk menghadapi krisis.

Menurutnya, ia akan dilaksanakan melalui peningkatan kapasiti dan kualiti, memperkasa modal insan dalam sektor berkenaan serta menjalinkan kerjasama lebih erat antara penyedia perkhidmatan kesihatan awam dan swasta.

“Di samping tumpuan kepada aspek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur fizikal, Bajet 2022 akan turut memberikan penekanan ke arah mempertingkatkan infrastruktur digital dan teknologi yang menjadi nadi utama bagi kelangsungan sistem ekonomi dan sosial pada masa hadapan.

“Dari aspek pendidikan, infrastruktur dan aplikasi digital, ia perlu dipertingkatkan bagi membolehkan sistem pendidikan membuat penyesuaian dengan keperluan belajar secara dalam talian di rumah.

“Selain itu, bagi sektor perniagaan, aplikasi dan infrastruktur digital turut memainkan peranan penting sepanjang tempoh PKP bagi memastikan sektor ini kekal beroperasi dan produktif,” katanya.

Menurutnya, penekanan juga akan diberikan untuk mempercepat peralihan kepada teknologi IR 4.0 dan transformasi digital serta meningkatkan keupayaan modal insan negara melalui program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula berasaskan permintaan semasa pasaran pekerjaan.

“Bajet 2022 turut mengkaji kaedah untuk membina semula ketahanan fiskal negara yang terkesan disebabkan komitmen Kerajaan dalam menampung pakej rangsangan dan bantuan untuk rakyat dan perniagaan,” katanya.

Menurutnya, krisis COVID-19 juga memberi peluang kepada kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan ekonomi ke arah mewujudkan ekonomi yang lebih lestari serta berproduktiviti dan bernilai tambah tinggi.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan