30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Pendemik Covid-19: Kutipan cukai separuh pertama 2021 rendah

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Kutipan hasil cukai bagi separuh pertama 2021 adalah rendah berbanding anggaran yang ditetapkan tahun ini berjumlah RM162.1 bilion berikutan pandemik COVID-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sasaran asal berkenaan merangkumi kutipan Cukai Langsung sebanyak RM120.0 bilion dan Cukai Tidak Langsung sebanyak RM42.1 bilion.

Bagaimanapun menurutnya, sehingga Julai lalu, kutipan Cukai Langsung adalah sebanyak RM67.4 bilion atau 56.2% daripada sasaran, manakala Cukai Tidak Langsung mencatat kutipan sebanyak RM24.8 bilion atau 59% daripada sasaran.

“Prestasi kutipan hasil bagi separuh pertama 2021 adalah rendah berbanding anggaran dan kutipan seterusnya dijangka berkurangan ekoran pandemik COVID-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menjejaskan aktiviti perniagaan dan pendapatan peniaga, selain pertambahan individu yang kehilangan pendapatan.

“Sebagai langkah membantu golongan dan sektor terjejas, inisiatif percukaian yang dianggar berjumlah RM3 bilion telah dilaksanakan melalui Belanjawan 2021 dan pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sepanjang tahun 2021 iaitu PERMAI, PEMERKASA, PEMERKASA Tambahan dan PEMULIH,” katanya dalam satu kenyataan pra-Bajet 2022 hari ini.

Tengku Zafrul berkata, melalui Belanjawan 2021, langkah meluaskan asas cukai bagi meningkatkan kutipan hasil juga telah diumumkan.

“Ini termasuk pengenaan duti eksais ke atas semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik, termasuk vape serta cecair atau gel tanpa nikotin.

“Skop pengenaan cukai pelancongan juga diperluas meliputi premis penginapan yang ditempah melalui penyedia platform dalam talian.

Selain itu menurutnya, Kerajaan komited dalam menangani isu ketirisan hasil, terutamanya yang melibatkan aktiviti penyeludupan barangan berduti tinggi yang dianggar berjumlah RM5bilion.

“Pasukan Kerja Pelbagai Agensi yang dipengerusikan oleh Kementerian Kewangan sebagai sebuah platform bagi merangka strategi membendung aktiviti penyeludupan telah diperkasakan melalui penyertaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional.

“Malaysia telah menandatangani Perjanjian Intergovernmental Agreement dengan Amerika Syarikat bagi tujuan pelaksanaan Foreign Account Tax Compliance Act (FATCA) pada 21 Julai lalu.

Menurutnya, langkah berkenaan merupakan pelengkap kepada penyertaan Malaysia terhadap inisiatif yang diterajui oleh OECD bagi membolehkan pertukaran maklumat berkaitan pembayar cukai terus dilakukan secara sistematik dan seterusnya membantu meningkatkan pematuhan cukai serta kecekapan tadbir urus percukaian negara, khususnya melibatkan aktiviti rentas sempadan.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan