26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

23,564 kes COVID, 82.2% tiada atau tidak lengkap vaksin

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Jumlah pesakit positif COVID-19 hari ini terus mencatatkan rekod baharu apabila 23,564 kes direkodkan harinya dengan 82.2 peratus daripada mereka yang tidak divaksin atau belum lengkap.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, daripada jumlah itu hanya 431 kes atau 1.8 peratus pesakit kategori 3 hingga 5 manakala selebihnya tiada bergejala atau gejala ringan.

Lonjakan kes selama tiga hari berturut-turut menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini ialah sebanyak 1,513,024 kes. Semalam, sebanyak 22,948 kes direkodkan sementara pada Rabu sebanyak 22,242 kes.

Noor Hisham berkata, Selangor masih merekodkan angka kes tertinggi iaitu sebanyak 6,974 kes diikuti Sabah (2,738 kes) dan Sarawak sebanyak 2,548 kes.

“Seterusnya, Kedah (1,932 kes), Kuala Lumpur (1,652 kes), Pulau Pinang (1,523 kes), Johor (1,323 kes), Kelantan (1,281 kes), Perak (1,248 kes),Melaka (610 kes), Negeri Sembilan (608 kes), Pahang (517 kes) dan Terengganu (521 kes).

“Perlis pula (64 kes), Putrajaya (24 kes) dan Labuan (satu kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes aktif adalah sebanyak 257,417 kes termasuk 1,062 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 518 kes memerlukan bantuan pernafasan manakala, sebanyak 21,448 kes sembuh dilaporkan.

“Terdapat 233 kes kematian COVID-19 lagi dilaporkan pada hari ini melibatkan 199 warga Malaysia dan 34 warga asing serta 60 kes meninggal dunia di luar hospital atau brought-in-dead (BID), menjadikan sebanyak 13,713 kes kematian dilaporkan,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, daripada jumlah kes baharu harian hari ini, sebanyak 19,362 kes atau 82.2 peratus tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

Menurutnya, sebanyak 431 kes (1.8 peratus) adalah daripada kategori tiga, empat dan lima.

“Manakala, sebanyak 23,133 kes (98.2 peratus) daripada kategori satu dan dua berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosis COVID -19.

“Ada di antara kes kekal di kategori sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga berubah status kesihatan sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

“Dapatkan vaksin COVID -19 bagi mengurangkan risiko jangkitan serius. Diharapkan ini akan mengurangkan jangkitan di dalam negara, terutamanya kes di kategori tiga hingga lima,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan status vaksinasi mengikut kategori, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 118 kes kategori lima dengan 108 kes atau 91.5 peratus tiada atau tidak lengkap vaksinasi dan 77 kes kategori empat dengan 65 kes atau 84.4 peratus tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

“Sebanyak 236 kes kategori tiga dengan 195 kes atau 82.6 peratus tiada atau tidak lengkap vaksinasi, 11,345 kes kategori dua dengan 9,463 kes atau 83.4 peratus tiada atau tidak lengkap vaksinasi dan 11,788 kes kategori satu dengan 9,531 kes atau 80.9 peratus tiada atau tidak lengkap vaksinasi,” ujarnya.

Tambah beliau, terdapat 38 kluster baharu dikenal pasti terdiri daripada 22 kluster tempat kerja, 14 kluster komuniti serta masing-masing satu kluster pendidikan lain dan kluster institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan.

Dalam pada itu, katanya, nilai RT Malaysia pada semalam adalah sebanyak 1.04 dengan Perlis merekodkan tertinggi iaitu (nilai RT 1.31), diikuti oleh Sabah (nilai RT 1.22) dan Sarawak (nilai RT 1.21).

“Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Negeri Sembilan,” katanya.-Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan