25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tabung WTP digandakan, bantu golongan rentan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Prihatin dengan nasib yang menimpa golongan rentan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, Ahli Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersetuju meluluskan geran sepadan dengan menggandakan jumlah kutipan Tabung Warga TNB Prihatin (WTP), menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada RM3.26 juta.

Sejak dilancarkan pada 9 Jun lalu, sejumlah RM1.63 juta untuk Tabung WTP telah berjaya dikumpulkan hasil sumbangan secara sukarela warga kerja TNB  melalui potongan gaji bulan Jun dan Julai (termasuk pengurusan tertinggi dan Ahli Lembaga Pengarah TNB), sekali gus melepasi sasaran RM1.5 juta yang ditetapkan.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keprihatinan warga kerja TNB untuk berkongsi rezeki bersama mereka yang memerlukan terserlah dengan jumlah kutipan melebihi sasaran awal.

“Warga TNB amat peka terhadap golongan yang dilanda pelbagai kesusahan dan tertekan akibat pandemik COVID-19, termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan bagi menyara keluarga.

“Justeru, pengurusan tertinggi TNB dan Presiden Kesatuan serta Yang Di Pertua Persatuan dalaman TNB bersepakat menubuhkan tabung berkenaan sebagai satu kaedah bagi warga kerja TNB bersatu mengumpul sumbangan secara ikhlas dan sukarela.

“Alhamdulillah, dengan nilai keprihatinan warga kerja TNB, sejumlah RM1.63 telah berjaya dikumpul secara sukarela.

“Sebagai perangsang kepada usaha murni ini, kami Ahli Lembaga Pengarah sebulat suara bersetuju untuk menggandakan jumlah kutipan menjadikan jumlah tabung meningkat kepada RM3.26 juta.

“Terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada warga TNB atas semangat muafakat dan kemanusiaan yang ditampilkan.

“Kejayaan kolektif ini adalah terjemahan nilai-nilai murni budaya TNB iaitu prihatin, kerjasama, mengutamakan pelanggan, integriti, profesionalisme dan berwawasan yang amat penting dalam usaha menyeluruh syarikat itu membantu kerajaan menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN),”katanya menerusi kenyataan media di sini.

Beliau berkata, bagi menyokong usaha PPN, TNB turut menumpukan kepada empat aspek iaitu menyelamatkan nyawa; melindungi golongan rentan; menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan memacu pemulihan ekonomi.

Menurut Mahdzir, selain Tabung WTP, sejak awal tahun ini TNB telah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada lebih 10,000 golongan B40 dengan peruntukan hampir RM9.5 juta termasuk membiayai pembinaan semula dan membaiki rumah, pengagihan bekalan makanan dan keperluan asas serta wang saku.

Tambahnya lagi, TNB juga turut sama menjayakan program Bakul Prihatin Negara yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan tajaan berjumlah RM2 juta.

“Program yang membabitkan pengagihan 420,000 bakul bantuan barangan keperluan kepada 1.68 juta penerima yang terkesan akibat pandemik COVID-19 mendapat tajaan daripada beberapa syarikat berkaitan kerajaan,”katanya.

Sementara itu, wakil pengurusan, Project Director (PMO Electric Vehicle) Bahagian Strategy Venture, Ir. Mohd Junaizee Mohd Noor berkata, warga kerja TNB berterima kasih kepada Lembaga Pengarah TNB atas kelulusan geran tambahan tersebut.

“Kelulusan geran sepadan dari Lembaga Pengarah ini sesungguhnya menzahirkkan nilai keprihatinan yang tinggi dari warga kerja TNB dari segenap lapisan tidak kira di mana pun kita berada. Semoga sumbangan ikhlas kita semua mendapat keberkatan dariNya,”katanya.

Dalam pada itu, seorang daripada 2,189 penerima Tabung WTP, R. Suganthi berkata,, sumbangan TNB ni sangat besar bagi dirinya.

“Saya boleh beli ubat-ubatan dan keperluan lain seperti susu untuk anak yang mengalami masalah tulang akibat kemalangan.

“Bila saya dapat beli keperluan-keperluan ini untuk anak yang sudah lama terhenti, saya rasa bersemangat untuk bangun keluar dari kesusahan hidup saya. Saya ucapkan terima kasih kepada TNB,”katanya.- Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan