30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Pelantikan Ismail Sabri, Hishammuddin reda situasi panas

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri mampu mengembalikan tumpuan semua pihak kepada isu utama.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini termasuk soal kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat serta pemulihan ekonomi ketika negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.

Menurut beliau, pelantikan kedua-dua pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) itu juga amat tepat pada masanya mengambil kira suasana politik negara yang agak panas ketika ini.

Beliau berkata, rakyat memerhatikan segala apa yang sedang berlaku dan paling penting ramai yang tidak bersetuju dengan permainan politik yang boleh menggugat kestabilan negara ketika ini.

“Saya berpendapat pelantikan kedua-dua pemimpin yang terkenal dengan ketokohan dan keupayaan masing-masing ini amat bersesuaian dengan tanggungjawab besar yang diletakkan pada bahu mereka.

“Saya pernah bekerja bersama Ismail Sabri ketika beliau menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebagai timbalannya dan mengagumi kepimpinan beliau.

“Justeru, saya percaya beliau mempunyai kemampuan untuk menjalankan tugasnya dengan cemerlang sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengenai Hishammuddin pula, Alexander berkata, Ahli Parlimen Sembrong itu mempunyai reputasi baik malah keupayaannya menguruskan krisis ketika negara berhadapan dengan isu penerbangan MH370 sehingga kini masih diperkatakan banyak pihak termasuk pemimpin luar negara.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan Hishammuddin yang mengetuai Kluster Keselamatan untuk memberi perhatian kepada isu keselamatan di Sarawak.

“Ini termasuklah membabitkan insiden pencerobohan sempadan oleh 16 pesawat China yang memasuki ruang udara Malaysia berhampiran Sarawak hujung Mei lalu, selain kapal pengawal pantai China berada berdekatan Beting Patinggi Ali, Sarawak, awal Jun ini.

“Saya yakin dan percaya, pelantikan kedua-dua mereka akan memberi nafas baharu kepada pentadbiran negara dalam kita semua berjuang melawan COVID-19 demi kebaikan semua pihak,” katanya.- Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan