29.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Naikkan SST kepada 8 peratus langkah kurang tepat – Ismail Sabri

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CADANGAN kerajaan untuk menaikkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada 6 peratus kepada 8 peratus merupakan langkah yang kurang tepat berbanding dengan sistem percukaian lain yang lebih efisien.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, meskipun kenaikan itu tidak melibatkan makanan dan minuman namun ia akan memberi kesan berantai kepada semua aspek yang turut mendorong kenaikan kepada barang-barang asas.

“Ini kerana peniaga tidak akan menyerap kenaikan cukai dan kos pengeluaran mereka.

“Justeru, saya sekali lagi berpendirian bahawa sudah tiba masanya untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah dimansuhkan pada tahun 2018 oleh Kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, percukaian negara perlu ditambah baik bagi memastikan hasil diperoleh semaksimum mungkin untuk memangkin pembangunan negara.

“Laporan Tinjauan Ekonomi Malaysia oleh Bank Dunia menyatakan Malaysia mencatatkan pendapatan cukai yang rendah iaitu sebanyak 12 peratus daripada KDNK.

Advertisements

“Peratusan itu jauh lebih rendah berbanding purata yang dicatatkan negara berpendapatan sederhana atas lain, iaitu sebanyak 18 peratus daripada KDNK, dan berbanding negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD),” ujarnya.

Menurut Ismail Sabri, GST terbukti jauh lebih cekap, telus dan adil berbanding SST.

Katanya, ketika GST dihapuskan, negara hilang kira-kira RM20 bilion sehingga RM30 bilion setahun akibat black economy kerana kita tidak dapat pantau mereka yang tidak membayar cukai.

“Kenaikan cukai SST sebanyak dua peratus ini juga hanya memberi hasil tambahan sebanyak RM3 bilion kepada negara.

“Malah firma audit antarabangsa, Deloitte meramalkan kenaikan dua peratus SST hanya mampu menambah pendapatan sekitar RM900 juta.

“Adakah ini berbaloi dengan kesan yang akan dihadapi oleh rakyat?,” soal beliau. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Pelajar UPSI adakan program bakti bersama gelandangan

SEKUMPULAN pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan program khidmat bakti bersama golongan gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala...

Lagi Artikel Berkaitan