KERAJAAN didakwa gagal memahami situasi yang dihadapi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) apabila menolak cadangan pengeluaran bersasar.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, langkah kerajaan untuk menumpukan kepada pembukaan Akaun III iaitu akaun fleksibel mulai tahun depan tidak akan membantu pencarun yang berdepan kesusahan.
“Mereka sedang susah sekarang. Adalah tidak logik pembukaan Akaun III tahun depan boleh ‘melegakan‘ kesusahan yang mereka sedang hadapi sekarang.
“Rayuan rakyat untuk membolehkan pengeluaran bersasar telah disuarakan oleh ramai individu dan pelbagai pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Wan Saiful berkata, sebagai kerajaan yang prihatin, mereka sepatutnya mendengar rintihan rakyat yang mahukan agar pengeluaran bersasar KWSP dibenarkan.
“Tuntutan pengeluaran bersasar ini telahpun kita dengar sebelum Belanjawan 2023 lagi. Ada di antara mereka yang perlu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka dengan segera.
“Ada yang kereta kena tarik, rumah kena lelong, kena halau dari rumah sewa malah lebih meruncing, dikejar oleh ceti haram. Adalah tidak munasabah pembukaan Akaun III akan menyelesaikan situasi sukar pencarum-pencarum ini,” katanya.
Beliau berkata, pengeluaran bersasar KWSP membolehkan pencarum menyelesaikannya serta-merta segala masalah yang dihadapi.
Lebih menyedihkan, beliau berkata, pencarum telah merayu mengeluarkan wang tabungan mereka sendiri dan bukannya wang kerajaan.
“Pengeluaran bersasar ini tiada kos kepada kerajaan. Malangnya nak guna duit sendiri pun nampaknya kerajaan tak benarkan.
“Pengenalan Akaun Fleksibel ini sebenarnya merupakan pengakuan kerajaan bahawa skim FSA2 yang diperkenalkan tahun lepas gagal teruk dan langsung tidak membantu rakyat secara hakiki,” katanya.
Untuk rekod, pada 2020 kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menolak pengeluaran KWSP ketika pandemik Covid-19 sebelum akur selepas mendapat desakan pelbagai pihak.
Beliau memberi alasan, sekiranya pengeluaran simpanan itu dibenarkan, pencarum akan menghadapi masalah lebih besar pada masa depan. – Edisi 9