27.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, September 21, 2023

Kerajaan sengaja lewat bentang Akta Pendanaan Politik

Parti-parti politik yang membentuk gabungan baharu itu adalah parti lama dan libat urus telah pun dijalankan dengan semua parti.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN didakwa sengaja melewat-lewatkan pembentangan Akta Pendanaan Politik dengan memberi alasan memerlukan masa untuk libat urus dengan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Dakwaan itu dibuat bekas Ketua Penerangan Bersatu yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata, alasan kerajaan perlu lebih masa untuk libat urus dengan semua parti politik dalam Kerajaan Perpaduan kerana ia adalah gabungan baharu adalah tidak boleh diterima.

Katanya, parti-parti politik yang membentuk gabungan baharu itu adalah parti lama dan libat urus telah pun dijalankan dengan semua parti.

“Sebenarnya akta ini adalah akta yang paling mudah untuk dibawa ke Dewan Rakyat kerana drafnya sudah ada, dan kajian telah dijalankan dan telah selesai bertahun-tahun.

“Kerajaan hanya perlu tambah satu klausa mengenai peruntukan tetap ahli Parlimen sahaja,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Wan Saiful mengulas jawapan bertulis di Parlimen bertarikh 25 Mei oleh Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung pertanyaan beliau mengenai penambahan peruntukan tetap untuk ahli Parlimen dalam Akta Pendanaan Politik.

Azalina berkata, sebarang dasar baharu termasuk rang undang-undang itu perlu dibawa dan mendapat kelulusan Jemaah Menteri terlebih dahulu.

Beliau juga berkata, susulan perkembangan politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15, termasuk pembentukan gabungan parti politik baharu, sesi libat urus perlu diteruskan dengan parti politik dan pihak berkepentingan.

Wan Saiful juga menyeru semua pihak, terutama NGO yang sekian lama memperjuangkan akta tersebut agar memberi tekanan lebih kuat kepada kerajaan bagi memastikan matlamat itu tercapai.

“Tanpa tekanan berterusan, Perdana Menteri, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim akan terus terlupa janji-janjinya,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Caprice nafi bayar Mondy demi ‘content’

PENYANYI rap, Caprice, menafikan dia membayar pempengaruh Indonesia, Mondy Tatto demi content atau menjatuhkan mana-mana individu. Caprice berkata, dia sudah memberi keterangan...

Lagi Artikel Berkaitan