34.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Postecoglou sah dilantik pengurus baharu Spurs

Sekali gus menjadi rakyat Australia pertama menjadi ketua jurulatih di Liga Perdana Inggeris

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

TOTTENHAM Hotspurs mengesahkan pelantikan Ange Postecoglou sebagai pengurus baharu mereka hari ini sekali gus menjadi rakyat Australia pertama menjadi ketua jurulatih di Liga Perdana Inggeris.

Pengesahan itu dibuat Spurs menerusi media sosial dan laman web rasmi kelab utara London itu hari ini.

“Kami berbesar hati mengumumkan pelantikan Ange Postecoglou sebagai ketua jurulatih dengan kontrak empat tahun,” katanya.

Pelantikan tersebut menamatkan misi pencarian pengganti Antonio Conte yang dipecat pada Mac lalu dengan dua jurulatih, Cristian Stellini dan Ryan Mason dilantik sebagai pengurus sementara sepanjang tempoh tersebut.

Cubaan Spurs untuk mendapatkan bos Feyenoord, Arne Slot terhenti pada minit akhir selepas pengendali skuad juara Belanda itu mengambil keputusan kekal di Eredivisie.

Susulan itu, Spurs beralih kepada Postecoglou yang cemerlang mengemudi Celtic dalam tempoh dua musim di Glasgow, Scotland.

Pelantikan pengurus berusia 57 tahun itu di Celtic sebelum itu dikecam hebat penyokong kelab selepas hanya berpengalaman menguruskan kelab di Australia dan Jepun sahaja.

Bagaimanapun, Postecoglou berjaya mendiamkan kumpulan yang membantah pelantikannya apabila meraih lima daripada enam trofi domestik yang dipertandingan dalam dua musim.

Pengurus warganegara Australia kelahiran Greece itu dikenali dengan corak permainan yang menarik dan bijak dalam merekrut pemain berkualiti.

Pengerusi Spurs, Daniel Levy berkata pemilihan Postecoglou diharap dapat membawa mentaliti positif dan corak pemain menyerang yang pantas.

“Beliau mempunya rekod yang cemerlang dalam membentuk pemain dan memahami kepentingan dalam membentuk pemain akademi, segalanya yang penting bagi kelab.

“Kami berbangga Postecoglou menyertai kami dan bersedia untuk mengharungi musim baharu,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan