33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Agong, Permaisuri ucap selamat jalan kepada jemaah haji

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji Malaysia yang akan berlepas ke Tanah Suci bagi musim haji 1444H/2023 di Hotel Movenpick, Sepang, Selangor hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada jam 1 tengah hari disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Syed Hamadah Syed Othman, Pengerusi TH Tan Sri Azman Mokhtar dan Duta Arab Saudi ke Malaysia Mesaad Ibn Ibrahim Ibn Abdullah Al Sulaim.

Menerusi kenyataan rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda bertitah menjadi tetamu Allah dalam perhimpunan terbesar umat Islam di Tanah Suci, mengajar jemaah haji untuk bersabar, bertoleransi dan saling hormat-menghormati sesama tetamu Allah yang lain.

“Seri Paduka Baginda bertitah perbezaan warna kulit, bahasa, bangsa dan kelainan pangkat serta darjat bukan lagi jurang pemisah antara umat Islam yang berhimpun di Tanah Suci.

“Perhimpunan haji mengajar kita untuk bekerjasama demi mencapai matlamat yang diidamkan.

“Ia turut mengajar kita akan nilai-nilai kehidupan yang mulia demi membentuk kesatuan ummah dan merupakan suatu manifestasi syiar perpaduan ummah yang maha agung untuk kita jadikan teladan dan pengajaran di negara kita,” menurut kenyataan itu.

Seri Paduka Baginda turut menyeru bakal jemaah haji untuk mengambil pengajaran daripada kesatuan dan perpaduan ummah menerusi perhimpunan terbesar manusia di Tanah Suci itu untuk sama-sama dijadikan teladan serta pedoman dalam membentuk semangat perpaduan serta ikatan ukhuwah di Malaysia.

Seri Paduka Baginda turut menasihati bakal jemaah haji agar sentiasa menjaga nama baik Malaysia, mematuhi segala nasihat dan panduan kesihatan serta mengamal pemakanan yang disarankan TH.

Pada majlis tersebut juga, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menyantuni bakal jemaah haji sambil mengucapkan selamat jalan kepada mereka.

Seramai 355 jemaah haji yang hadir pada majlis tersebut akan berlepas ke Tanah Suci menerusi penerbangan Saudia Airlines ke Jeddah pada 5.35 petang ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan dijangka tiba kira-kira 11.10 malam (waktu Arab Saudi). – Edisi 9

Terkini

Dewan Rakyat lulus RUU Pindaan AUKU 2023

DEWAN Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) (Pindaan) 2023 setelah dibacakan buat...

Lagi Artikel Berkaitan