26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pendirian UMNO tidak tergelincir dari utamakan rakyat

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Pendirian UMNO menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak tergelincir dari mengutamakan rakyat, negara dan parti.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dalam keadaan negara yang sangat meleset, UMNO wajar tampil dengan satu pendirian.

Menurut beliau, membiarkan kemelesetan negara ini berterusan adalah laksana UMNO merestuinya.

“Bila sistem kesihatan semakin parah, ekonomi merudum dan memburuk, kemiskinan meningkat, mereka yang membunuh diri semakin banyak, kelaparan telah menjadi nyata, bendera putih, hitam dan segala warna telah dikibarkan, demokrasi diselewengkan, malah institusi raja disanggah dengan tiada susila, UMNO tidak boleh menjadi sebahagian dari kemelesetan ini.

“UMNO mesti senafas dengan kesusahan rakyat, bukan kuasa dan kedudukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Muhyiddin dengan serta-merta.

Pengumuman itu dibuat awal pagi hari ini oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media secara maya selepas mesyuarat Majlis Tertinggi parti yang bermula malam tadi.

Mohamad menambah, pendirian itu pasti selari dengan keputusan perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu memberitahu, tiada individu yang lebih besar daripada UMNO.

“Tiada tokoh lebih penting dari parti dan rakyat. Tiada kuasa lebih besar dari kuasa rakyat. Tiada perjuangan lebih bererti dari perjuangan untuk rakyat yang marhain dan yang terjejas.

“Insya-Allah, UMNO telah ada sebuah pendirian dan jalan ke hadapan. Semoga jalan dan pendirian yang direncanakan ini adalah sebaik-baiknya jalan dan pendirian untuk rakyat, tanah air dan parti kita UMNO.

“Kepada ahli dan rakyat, UMNO sandarkan masa depannya, insya-Allah,” jelasnya.

Beliau berkata, UMNO tidak pernah diasaskan demi kepentingan lain kecuali memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan rakyat Malaysia, memuliakan Islam, memelihara kehormatan institusi raja dan membangunkan negara.

Mohamad menambah, pendirian itu akan terus menjadi pendirian UMN dan sebagai parti politik, kejelasan sebuah pendirian sangat penting.

“Tanpa pendirian, UMNO jadi hanya sebuah parti terdaftar, bukan sebuah perjuangan.

“Pendirian UMNO mesti berpaksikan aspirasi rakyat, demi rakyat dan untuk rakyat,” katanya.

Menurut beliau, fitrah UMNO adalah parti untuk orang kebanyakan serta biasa-biasa, maka untuk merekalah UMNO harus bersuara dan berjuang. – EDISI 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan