25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Ketegasan Ismail Sabri, rakan halang Kerajaan PN tumbang

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

APABILA Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi muncul kira-kira pukul 1 pagi tadi untuk mengadakan sidang akhbar secara maya, terdapat lebih 20,000 yang menontonnya.

Mereka ternanti-nanti apakah keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO itu. Mesyuarat tersebut menjadi tumpuan kerana sejak Isnin lalu, negara yang sedang bergelut dengan pandemik Covid-19, diganggu pula dengan percaturan politik oleh pemimpin parti tersebut.

Keputusan yang paling ditunggu-tunggu apakah benar UMNO akan membuat keputusan menarik diri daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti mana digembar-gemburkan.

Tetapi ia tidak berlaku sebaliknya, beliau mengumumkan UMNO menarik balik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan meminta Perdana Menteri berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik.

Penulis tidak mahu memperkatakan tujuh perkara yang menjadi asas atau sebab UMNO membuat keputusan yang dianggap bercelaru tersebut.

Tetapi apa yang jelas, ia terjadi kerana ketegasan yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ahli-ahli Parlimen UMNO lain untuk terus kekal berada dalam kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan.

Pendirian mereka yang turut disokong oleh tiga ahli Parlimen daripada MCA dan MIC itu menggagalkan perancangan kepemimpinan UMNO menumbangkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan cara menarik sokongan.

Semua orang tahu sejak Isnin lalu, kumpulan ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan menjadi ‘buruan’ kepada kepemimpinan parti untuk mendesak mereka meletakkan jawatan bagi membolehkan usaha menarik sokongan berjaya.

Tetapi atas dasar prihatin kepada rakyat dan tidak mahu negara yang sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 ditambah deritanya, mereka bertegas tidak akan meninggalkan kerajaan. 

Malah dalam pertemuan dengan kepemimpinan UMNO, mereka menyatakan sanggup dipecat daripada parti itu kerana membuat keputusan kekal dalam kerajaan. Bagi mereka, apa yang dilakukan oleh kepemimpinan UMNO tidak sesuai ketika ini.

Tumpuan sepenuhnya diberikan usaha memerangi Covid-19 bukannya berpolitik atau meminjam kata Khairy Jamaluddin yang menjadi Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,’’ Saya tak ada masa berpolitik’.

Berikutan ketegasan inilah, Ahmad Zahid terpaksa membuat pengumuman atau keputusan MT yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, apa sebenarnya yang beliau maksudkan ‘menarik sokongan kepada Muhyiddin dan mahu Perdana Menter berundur dengan cara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri dilantik.’’

Ia menimbulkan persoalan adakah Muhyiddin sudah hilang sokongan daripada UMNO memandangkan parti itu mempunyai kerusi terbanyak dalam Kerajaan PN? Tidak! Bukan itu maksud beliau.

Ahmad Zahid tidak boleh berkata demikian kerana Ismail Sabri dan rakan-rakan tidak mahu terlibat dalam percaturan politik ‘ketua-ketua’ mereka. Lanjutan itu, pendirian yang diputuskan oleh UMNO dilihat tidak ada apa-apa kesan, sebaliknya boleh dianggap satu kenyataan yang bermotif politik semata-mata.

Pendirian menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin itu sama sekali tidak mengejutkan kerana penulis difahamkan dalam satu pertemuan, seorang ahli Parlimen UMNO yang bertegas akan terus kekal dalam kerajaan telah diajukan soalan,’’bagaimana kalau kita kekal dalam PN tetapi Muhyiddin tidak boleh menjadi Perdana Menteri?’’.

Cadangan tersebut dikatakan mengejutkan ahli Parlimen tersebut kerana beliau menyifatkan, itu sudah menjuruskan kepada dendam peribadi. Dan ternyata naratif ‘kekal dalam PN tetapi tolak Muhyiddin’, akhirnya diputuskan oleh MT.

Adakah keputusan itu akan memberi keuntungan politik kepada UMNO? Sudah pasti tidak sebaliknya ia hanya akan menyebabkan UMNO akan terus dilihat berpolitik biarpun negara sedang dilanda pandemik Covid-19.

Bayangkan apa akan berlaku jika Ismail Sabri dan rakan-rakannya akur dan mengikut rentak politik kepemimpinan parti sudah pasti politik akan menjadi huru-hara, apatah lagi dalam kalangan pemimpin-pemimpin UMNO begitu teruja sekali mahu melihat UMNO meninggalkan Kerajaan PN pada 1 Ogos ini.

Tetapi sekarang semua perancangan politik sudah terbantut, sekaligus menyelamatkan negara daripada terjebak dalam kancah pergolakan politik sekali lagi. 

Selain itu, kalau meneliti satu demi satu hujah yang dibentangkan oleh Ahmad Zahid berhubung sebab UMNO menarik sokongan kepada Muhyiddin, ia dipersoalkan. 

Tambahan pula dengan cadangan mahu melantik Perdana Menteri baharu bagi mengendalikan situasi negara dalam memerangi pandemik Covid-19. Ia adalah cadangan yang cukup dangkal seolah-olah UMNO mahu menukar Perdana Menteri sesuka hati.

Kalaulah Perdana Menteri boleh ditukar ganti hanya dengan tafsiran politik oleh parti yang tidak menyukai beliau, apa akan berlaku kepada negara ini?

Bagaimanapun kalau Perdana Menteri yang dilantik itu gagak mencapai aspirasi yang diinginkan oleh UMNO? Tak kan mahu menukar lagi kepemimpinan negara?

Penulis percaya ketegasan Ismail Sabri dan rakan-rakannya untuk kekal dalam kerajaan bukanlah kerajaan mahu menikmati keistimewaan sebagai anggota Kabinet atau GLC tetapi mereka ‘sudah masak’ dengan main politik ‘bos-bos’ mereka.

Justeru oleh kerana Ismail Sabri telahpun dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi membantu Perdana Menteri melaksanakan Pelan Pemulihan Negara manakala Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan bertanggungjawab dalam kluster keselamatan bagi menguruskan Covid-19, pemimpin-pemimpin UMNO hentikanlah gerakkan politik.

Izinkanlah mereka membuat kerja dengan tenang, janganlah diganggu dengan agenda bagi melunaskan dendam politik peribadi.

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan