SEMPENA sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini, GEGAR, jenama radio pilihan No. 1 di Pantai Timur telah mengadakan ibadah korban dan mengagihkan daging korban kepada tiga buah kampung di Tanah Merah, Kelantan.
Tiga buah kampung yang dipilih untuk menerima daging menerusi program Korban Raya GEGAR 2021 itu ialah Kampung Padang Lalang, Kampung Banggol Nering dan Kampung Batu Hitam.
Pengurus Kandungan GEGAR, Raja Nadia Salwana Raja Hisham berkata, proses penyembelihan dan pengagihan daging korbanitu dikendalikan oleh Geng GEGAR Fan Club (GGFC) dan berjaya diagihkan kepada 145 buah rumah di ketiga-tiga kampung tersebut.
Menurut beliau, selain melaksanakan ibadah yang dituntut dalam Islam, Korban Raya GEGAR 2021 juga untuk berkongsi rezeki bersama peminat di Kelantan dan sebagai tanda terima kasih atas sokongan mereka kepada jenama Gegar.

Raja Nadia Salwana berkata, pihaknya bersyukur kerana berpeluang menjalankan ibadah korban dan mengagihkan sumbangan tersebut kepada peminat-peminat radio berkenaan di negeri itu tahun ini.
“Disebabkan norma baharu dan sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), aktiviti turun padang seperti ini dihadkan.
“Namun, dengan kerjasama dan bantuan Geng GEGAR Fan Club (GGFC) dari Tanah Merah sendiri, usaha ini dapat dijalankan untuk kami berkongsi rezeki bersama peminat dan penduduk kampung dalam meraikan Hari Raya Aidiladha ini,” katanya.
Penganjuran ibadah korban ini diluluskan dan mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). – Edisi 9