30.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Banyak nyawa jadi taruhan jika doktor kontrak mogok

Mesti Baca

CYBERJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah merayu kepada doktor-doktor kontrak supaya tidak meneruskan hasrat mengadakan mogok esok.

Beliau berharap mereka tidak mengabaikan pesakit dengan menyertai mogok yang boleh menjejaskan ratusan nyawa serta kerjaya mereka.

Dr Noor Hisham mengingatkan semua doktor kontrak itu mengenai sumpah yang dilafazkan petugas kesihatan ketika memulakan kerjaya, iaitu ‘primum non nocere’, bererti ‘pertama, jangan membahayakan atau berlaku tidak adil kepada pesakit’.

“Kepada rakan sekerja junior yang berkhidmat secara kontrak, saya menggesa anda semua, tolong jangan menyertai demonstrasi dan meninggalkan tugas anda menjaga pesakit.

“Ingatlah, banyak nyawa yang menjadi taruhan, dan demonstrasi ini mungkin menjejaskan nyawa mereka dan kerjaya anda,” katanya dalam hantaran Facebook beliau, malam ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak pegawai perubatan dan pegawai pergigian untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas.

Muhyiddin berkata, ini termasuk mereka yang diterima bekerja mengikut pengajian kepakaran dalam tempoh dua tahun pertama kontrak masing-masing.

Namun, kumpulan doktor kontrak tetap mahu meneruskan gerakan Hartal Doktor Kontrak kerana bertegas dengan tuntutannya, iaitu jaminan pelantikan tetap bagi doktor kontrak dan baharu, hak gaji serta kebajikan sama rata dengan doktor tetap, termasuk cuti dan faedah.

Gerakan Hartal Doktor Kontrak tetap merancang untuk keluar beramai-ramai daripada fasiliti kesihatan masing-masing tempat mereka bekerja di seluruh negara tepat jam 11 pagi esok sebagai tanda bantahan.

Advertisements

Mogok doktor kontrak, yang dianggarkan berjumlah 23,000 individu, mencetuskan kebimbangan berikutan jumlah pesakit COVID-19, khususnya yang berada dalam situasi kritikal, melonjak tinggi ketika ini, dengan kapasiti hospital di seluruh negara berada di tahap kemuncak.

Penularan pandemik itu sejak lebih setahun lalu menyebabkan petugas barisan hadapan keletihan, manakala lonjakan jumlah pesakit menyebabkan junlah petugas tidak mencukupi, sekali gus mogok itu dikhuatiri melumpuhkan sistem kesihatan awam negara.

Dr Noor Hisham menambah, beliau faham dengan tuntutan mereka yang mahu berkhidmat secara tetap.

Namun, pada masa yang sama beliau berharap mereka menerima terlebih dahulu lanjutan kontrak dua tahun yang diumumkan kerajaan.

Menurut beliau, lanjutan itu bagi memberi tempoh kepada pindaan dilaksanakan terhadap Akta Pencen 1980, supaya jawatan tetap boleh digajikan dengan pilihan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tanpa pencen.

Sementara menunggu pindaan itu, katanya, kerajaan akan membenarkan petugas kontrak untuk menyambung pengajian sarjana, dan menawarkan jawatan tetap dengan pilihan KWSP, apabila tersedia nanti.

“Saya ingin mengingatkan kepada semua keselamatan pesakit keutamaan kita. Ingatlah ikrar yang kita lafazkan dengan ikhlas, dan beradalah bersama pesakit ketika mereka dan negara sangat memerlukan anda semua.

“Kita benteng terakhir pertahanan bagi mengubah nasib pesakit kita, dan setiap nyawa penting,” jelasnya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Agong, Permaisuri zahir rasa sedih tragedi nahas helikopter TLDM

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa sedih atas tragedi nahas dua...

Lagi Artikel Berkaitan