25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Ahli Parlimen UMNO mesti sokong undi batal Proklamasi Darurat

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Menjelang sidang khas Dewan Rakyat esok, UMNO membuat kejutan dengan mengarahkan semua Ahli Parlimen dari parti itu mengusulkan agar Parlimen membahaskan dan membatalkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu perlu dilakukan untuk menzahirkan pendirian parti.

“Ahli-ahli Parlimen UMNO mesti menzahirkan sokongan melalui undi untuk membatalkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Beliau menambah, ketetapan itu adalah berpandukan kepada beberapa asas berikut:

Penolakan rakyat yang UMNO wakili terhadap Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya yang ternyata lebih banyak memudaratkan rakyat termasuklah kebejatan ekonomi dan keterabaian dalam memelihara kebajikan rakyat termasuk pelaksanaan kompaun-kompaun yang melampau dan bersifat ‘dwi-standard’.

Pelaksanaan Darurat yang ternyata gagal untuk mengekang dan menangani Pandemik Covid-19, sebaliknya sebagai muslihat politik dan alat memandulkan sistem demokrasi berParlimen.

Memenuhi dan mentaati Perlembagaan Persekutuan berasaskan Perkara 150(3) yang mengkehendaki Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya bukan sekadar dibahas tetapi ditentukan keabsahannya samaada diluluskan atau dibatalkan.

Memahami implikasi Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan bahawa Ordinan-Ordinan Darurat akan terus berjalan selama 6 bulan sekiranya tidak dibatalkan sebagaimana peruntukan 150(3), sekaligus bertentangan dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 29 Oktober 2020, 25 April 2021, 16 Jun 2021 dan yang terbaru 7 Julai 2021.

Mendokong dan mentaati Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Pemerintah yang menitahkan tiada keperluan untuk Darurat diteruskan dan segala Ordinan-Ordinan Darurat dibahaskan di Parlimen seiring dengan Peruntukan 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Memenuhi dan mentaati ketetapan parti pada 25 April 2021 bahawa sekiranya Darurat (Proklamasi dan Ordinan-Ordinannya) diteruskan selepas 1 Ogos 2021, maka “Ahli-Ahli Parlimen akan menarik sokongan dan Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri dan Pengerusi-Pengerusi GLC daripada UMNO akan meletakkan jawatan”.

Pada 8 Julai lalu, Ahmad Zahid membuat kejutan apabila mengumumkan bahawa UMNO menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dengan serta-merta.

Beliau membuat pengumuman itu selepas mempengerusikan mesyuarat majlis Tertinggi UMNO pada malam sebelumnya.– EDISI 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan