
Saudara Pengarang
Ramai yang tidak sedar apabila mereka dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan pihak lain.
Daripada meredakan keadaan bagi menfokuskan kepada pengurusan wabak, ramai yang terus mendesak kerana inilah masa yang terbaik untuk mendesak.
Yang menjadi mangsa adalah pesakit, yang akan lumpuh adalah sistem kesihatan dan yang akan cacat adalah nama profesion kedoktoran.
Yang hebat adalah jururawat dan pembantu perubatan sebab mereka akan terus bekerja dan menjaga pesakit.
Yang hebat adalah atendan-atendan dan pakcik, makcik cleaners yang terus bekerja dengan gaji kecil dan sedikit.
- Rakyat tidak tahu elaun COVID-19 berjuta ringgit kerajaan belanjakan.
- Rakyat tidak tahu kerajaan belanja lebih RM2 bilion tampung gaji perjawatan baharu doktor kontrak.
- Rakyat tidak tahu kerajaan tanggung berbilion ringgit tingkatkan skim gaji fleksi doktor.
- Rakyat tidak tahu doktor boleh buat lokum dan dapat gaji penuh daripada kerajaan dan suruh pesakit pergi swasta sedangkan mereka yang sama juga yang membedah dan merawat.
- Rakyat tidak tahu berbilion ringgit yang kerajaan belanjakan kerana nak melatih doktor dan menanggung kos saman kerana kesilapan doktor.
- Dan rakyat tidak tahu bahawa hospital swasta menjadi sebab ramai doktor-doktor pakar kerajaan beralih kerana umpanan pendapatan yang tinggi dan beban kerja yang rendah, dan meraut untung dari pesakit serta syarikat insuran sehingga menyebabkan premium insuran semakin mahal bagi rakyat berpendapatan rendah.
Maka, teruskanlah dengan niat hitam kamu kerana sekarang rakyat akan tahu betapa hitamnya hati yang dikatakan bersih itu.
Tak usah bercakap ikut SOP kerana nak tunjuk beretika. Kalau tinggalkan pesakit maknanya tak beretikalah maknanya.
Di manakah etika seorang doktor? Daripada kajian saya mereka ini ada dinasihati oleh kumpulan tertentu supaya mengunakan keadaan untuk meningkat kegagalan kawalan wabak.
Saya sebagai doktor amat bersimpati dengan mereka tetapi saya tidak setuju dengan walk out (mogok) walaupun saya akan jadi ‘pariah’ dalam profesion saya, yang saya rasa sudah mula hilang integritinya.
Segala luahan amat menekankan faktor emosi yang meraih simpati daripada berpandukan kepada fakta.
Kita tingkatkan kebaikan usaha baik Menteri Kesihatan dan pengumuman Perdana Menteri berkaitan langkah interim.
DOKTOR-DOKTOR YANG MAHU LAKUKAN WALK-OUT (HARTAL) :
- Tidak bersyukur atas prihatin kerajaan kerana mewujudkan 23,000 perjawatan baharu yang mereka sandang selama 5 tahun bagi membolehkan mereka mendapat pendaftaran penuh dan membantu mereka selama ini.
- Mereka merupakan pelajar-pelajar perubatan baharu, yang mungkin tidak dapat menjalani housemanship kerana doktor kontrak tidak beralih kerja ke sektor swasta dan pihak hospital swasta tidak mahu mengajikan doktor muda. Hospital swasta hanya berminat dengan doktor yang berpengalaman dan pakar sahaja.
- Mereka lupa usaha baik kerajaan untuk mengkaji sistem kesihatan secara menyeluruh yang sedang dilaksanakan sekarang.
- Di manakah etika doktor-doktor ini dalam melakukan hartal pada hari ini, ketika keadaan pesakit amat memerlukan mereka? Kenapa jururawat-jururawat kontrak dan pekerja-pekerja kontrak lain tidak melakukan hartal atau berdemo?
DOKTOR BERSARA
Kuala Lumpur