Sunday, June 14, 2026

Tindakan KPDNHEP berdasar maklumat, dokumen

Mesti Baca

PUTRAJAYA – Tindakan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terhadap premis-premis perniagaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) adalah berdasarkan maklumat dan penerangan yang diberikan.

Sehubungan itu, mana-mana peniaga yang tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil disarankan agar merujuknya kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berdekatan untuk pertimbangan selanjutnya.

KPDNHEP dalam satu kenyataan turut menasihatkan peniaga supaya mematuhi sepenuhnya SOP yang telah ditetapkan kerajaan serta menyediakan dokumen-dokumen yang sah ketika pemeriksaan oleh penguat kuasanya.

“KPDNHEP mengambil maklum beberapa isu yang dibangkitkan dalam media sosial dan portal berita sejak akhir-akhir ini berkenaan tindakan yang diambil oleh penguat kuasa kami terhadap peniaga-peniaga dan premis mereka.

“KPDNHEP ingin menjelaskan bahawa tindakan diambil berdasarkan
maklumat dan penerangan yang diberikan oleh peniaga semasa operasi
dijalankan dan setelah meneliti pematuhan ke atas SOP Majlis Keselamatan Negara dan pendaftaran di sistem CIMS 3.0,” kata kenyataan itu hari ini.

Kementerian itu berkata, tindakan yang diambil tersebut berkaitan dengan Akta 342 SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasarkan pengumuman kerajaan mengenai penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi sejak 1 Jun hingga 14 Jun dan dilanjutkan sehingga 28 Jun ini.

KPDNHEP juga menasihati peniaga yang masih belum mendapat kelulusan untuk menjalankan operasi perniagaan, agar menghubungi pihak kementerian untuk permohonan atau mendapatkan maklumat lanjut tentang status permohonan mereka di talian 03-88825881/5905 atau melalui e-mel kepada [email protected].

Peniaga juga boleh menghubungi Pejabat KPDNHEP di negeri mereka beroperasi untuk mendapatkan bantuan.

“KPDNHEP juga ingin menasihatkan semua peniaga supaya sentiasa
merujuk kepada laman sesawang rasmi kementerian untuk mendapatkan
maklumat yang terkini dan sahih di portal Kementerian di pautan
www.kpdnhep.gov.my,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan