32.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Sidang Parlimen: Pemuda mahu UMNO buat keputusan tegas

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Pergerakan Pemuda UMNO terus melakukan tekanan bagi mendesak Kerajaan mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin seperti mana pandangan yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Rabu lalu.

Dalam desakan terbaru, Ketuanya Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mahu UMNO membuat keputusan tegas sekiranya kerajaan tidak memanggil sidang Parlimen dalam masa terdekat.

“Ini seiring dengan asas dan tujuan perjuangan UMNO untuk sentiasa membela dan mempertahankan kepentingan Raja-Raja Melayu sebagaimana Fasal 3 Perlembagaan UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Walaupun tidak menyatakan apakah ‘keputusan tegas’ itu namun ramai yang boleh menduga ia berkaitan kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO amat terkilan dengan sikap kerajaan yang dilihat cuba berdolak-dalih dan mempolemikkan istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ seolah-olah tidak menghormati titah Seri Paduka. 

Advertisements

“Bagi Pemuda UMNO, sidang Parlimen ini amat mustahak untuk disegerakan bagi membolehkan suara, harapan dan pelbagai tuntutan rakyat yang sedang dalam keresahan dan kesempitan di kala pandemik Covid-19 dapat diperbahaskan dan diangkat secara rasmi oleh wakil-wakil mereka yang telah dipiilih melalui sistem demokrasi berparlimen,” tegasnya.

Justeru tegas beliau lagi, Pemuda UMNO mendesak agar kerajaan segera mengeluarkan notis panggilan bagi membolehkan Parlimen bersidang sebelum Darurat tamat 1 Ogos 2021 bagi mentaati dan menghormati titah pandangan dan pendirian Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah.

“Kegagalan melaksanakan titah Seri Paduka dan Raja-Raja Pemerintah ini boleh dianggap sebagai satu bentuk penderhakaan,” tegas beliau.

Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO menyokong penuh titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah untuk Parlimen dapat bersidang secepat mungkin bagi membahaskan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dalam menangani Covid-19. 

“Sewajarnya istilah ‘secepat mungkin’ yang digunakan Seri Paduka amat jelas memberikan indikasi untuk Parlimen dibuka segera. Ini diperkukuhkan lagi oleh kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menzahirkan sokongan Raja-Raja Pemerintah yang turut senada dengan pendirian Seri Paduka,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sistem eDKK dinaik taraf menjadi sistem bersepadu ANAK – Nancy

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam proses menaik taraf Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak (eDKK)...

Lagi Artikel Berkaitan