36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Saksi nampak pelancar peluru BUK sebelum MH17 ditembak

Mesti Baca

THE HAGUE – Beberapa saksi memberitahu kepada Mahkamah Belanda kelmarin bahawa mereka melihat sebuah pelancar peluru berpandu antipesawat BUK menyeberang masuk ke timur Ukraine dari Rusia beberapa jam sebelum ia menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17.

Memetik laporan The Guardian, pelancar peluru berpandu antipesawat jenis BUK itu melepasi sempadan Rusia dalam keadaan yang gelap pada awal pagi 17 Julai 2014.

Sistem persenjataan tersebut kemudian dimuatkan ke atas sebuah treler dan dibawa ke bandar Donetsk yang dikuasai pemberontak sebelum menghala ke timur ke arah pekan Snizhne.

Dalam perjalanan, penduduk, seorang wartawan dan seorang pemandu melihat pelancar BUK yang membawa empat peluru berpandu.

Anggota tentera Rusia dilihat dan pemberontak Republik Rakyat Donetsk (DNR) dilihat mengiringi pelancar peluru berpandu antipesawat berkenaan.

Empat suspek sedang dibicarakan kerana didakwa terlibat menembak jatuh pesawat MH17 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Seramai 298 orang yang terdiri daripada penumpang dan kru penerbangan terbunuh dalam tragedi itu.

Walau bagaimanapun, Rusia menafikan ia bertanggungjawab terhadap insiden tersebut.

Pada masa itu, puak pemisah pro-Rusia gagal mengekang kemaraan tentera Ukraine dan terdedah kepada serangan jet pejuang tentera udara Ukraine yang menyebabkan ramai pemberontak terbunuh.

Mahkamah telah mendengar rakaman perbualan melibatkan empat tertuduh yang membincangkan tentang BUK dan keperluan puak pemisah terhadap sistem pertahanan udara.

Tiga daripada empat tertuduh adalah warga Rusia dan salah seorang daripada mereka ialah bekas pegawai agensi perisikan Rusia, Igor Girkin.

Pada 2014, Girkin mengetuai pemberontakan bersenjata yang menyaksikan puak pemisah menawan pekan Slavyansk namun mereka kemudian berundur ke Donetsk.

Mereka yang lain ialah ketua agensi perisikan tentera DNR, Sergei Dubinsky dan timbalannya, Oleg Pulatov.

Seperti yang dimaklumkan kepada mahkamah, kedua-duanya mempunyai hubungan rapat dengan agensi perisikan tentera Rusia, GRU yang membekalkan senjata kepada puak pemisah Ukraine.

Hakim Hendrik Steenhuis berkata, beberapa saksi melihat peluru berpandu antipesawat yang ditunda oleh sebuah lori Volvo berwarna putih.

Rakaman video yang menunjukkan BUK dibawa dengan kenderaan itu di sebuah lebuh raya utama ditayangkan dalam mahkamah.

Identiti sebenar semua saksi dirahsiakan dan mereka hanya dikenali dengan huruf dan nombor.

Mahkamah diberitahu dua lelaki bersenjata telah mengugut salah seorang saksi dan memaksa lelaki itu mengubahkan keterangannya dalam siaran stesen televisyen Rusia.

Keempat-empat suspek yang dibicarakan tanpa hadir di mahkamah berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan membunuh 298 penumpang pesawat MH17.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan