DATUK Seri Anwar Ibrahim telah membangkitkan isu mengenai pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014 ketika pertemuan dengan Presiden Russia Vladimir Putin hari ini.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu dibangkitkan semasa rundingan dua hala beliau dengan Presiden Russia itu di Kremlin, Moscow sebagai mewakili keluarga mangsa yang terjejas akibat tragedi itu.
“Tentunya saya sebagai mewakili rakyat Malaysia, terutama keluarga mangsa, mengambil kesempatan untuk membangkitkan isu tersebut kepada Presiden Vladimir Putin semasa mengadakan rundingan dua hala,” katanya kepada media Malaysia yang rakaman videonya turut dimuatkan menerusi media sosialnya hari ini.
Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pada Isnin melaporkan bahawa Russia bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di Ukraine pada 2014.
Menurut laporan badan tersebut, pesawat itu dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh oleh peluru berpandu Russia semasa terbang melintasi timur Ukraine, ketika berlakunya pertempuran antara kumpulan pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.
Anwar berkata, Putin mendengar dengan meneliti perkara yang dibangkitkan sebelum menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Katanya, Presiden Russia itu menegaskan bahawa beliau telah menuntut supaya siasatan rapi dan menyeluruh dijalankan selain isu tersebut tidak dipolitikkan.
Putin berkata, sejak awal lagi Moscow memohon supaya siasatan berhubung perkara itu harus bebas dan teliti selain menegaskan bahawa Russia sedia memberikan kerjasama untuk memastikan laporan itu lebih berwibawa.
Menurut Perdana Menteri, beliau akan menjelaskan kepada keluarga mangsa berhubung maklum balas yang diberikan oleh Putin.
“Cuma yang saya dapat pastikan ialah beliau (Putin) kata tidak benar kalau beliau tidak sedia untuk memberikan kerjasama tetapi beliau tidak mahu bekerjasama dengan mana-mana badan yang beliau atau Russia anggap sebagai tidak bebas,” katanya.
ICAO, sebuah majlis penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memutuskan bahawa Russia bertanggungjawab dalam insiden yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu. – Edisi 9

