KETUA jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski memanggil seramai 38 pemain bagi menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula Ahad ini sebagai persiapan menghadapi Cape Verde dan Vietnam bulan depan.
Seramai 25 pemain yang menewaskan Nepal 2-0 pada aksi pertama Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dikekalkan.
Cklamovski turut memanggil beberapa muka baharu dan pemain bawah 23 tahun (B-23) termasuk Muhammad Alif Ahmad, Muhammad Shafizan Arshad, Haykal Danish Haizon dan Aiman Hakimi Othman.
Latihan pusat yang dibahagikan kepada tiga fasa itu akan bermula di Johor Bahru dari 18 hingga 26 Mei sebelum disambung di Kuala Lumpur bermula 27 Mei hingga hari perlawanan.
Sebanyak tiga kumpulan pemain akan melapor diri secara berperingkat dengan 28 pemain dijangka hadir pada hari pertama kem.
Ini disusuli lapan lagi pemain utama termasuk Ahmad Syihan Hazmi, Corbin-Ong, Matthew Davies, Shahrul Saad, Junior Eldstal, Afiq Fazail, Romel Morales dan Endrick dos Santos pada 25 Mei.
Dua lagi pemain yang berpangkalan di luar negara, Dion Cools (Buriram United, Thailand) dan Hector Hevel (Portimonense S.C, Portugal) akan menyertai kem pada 1 Jun 2025.
Skuad negara dijadual berdepan pasukan ranking ke-72 dunia, Cape Verde dalam dua perlawanan persahabatan Tier 1.
Aksi pertama akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei, jam 9 malam, manakala satu lagi perlawanan latihan tertutup akan diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 Jun.
Dua aksi persahabatan itu menjadi medan pemanas badan sebelum skuad negara melayan kunjungan Vietnam bagi aksi penting Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Sementara itu, seramai 12 pemain disenaraikan sebagai Senarai Bersedia termasuk pemain berpengalaman seperti Mohamadou Sumareh, Darren Lok, Kalamullah Al-Hafiz dan Sergio Aguero (Sri Pahang FC), sekiranya berlaku perubahan dalam senarai akhir. – Edisi 9

