Tuesday, July 21, 2026

Malaysia, Rusia perkukuh hubungan dua hala – Anwar

Perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan dua hala beliau bersama rakan sejawatnya dari Rusia, Mikhail Mishustin hari ini.

Mesti Baca

MALAYSIA dan Rusia komited untuk terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi pelbagai bidang strategik termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, kesihatan, tenaga, pertanian, pelancongan serta pertukaran budaya dan saintifik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan dua hala beliau bersama rakan sejawatnya dari Rusia, Mikhail Mishustin hari ini.

Menurut Anwar, Malaysia menyambut baik usaha Mishustin dalam melaksanakan reformasi institusi di Rusia yang disifatkan selari dengan gagasan reformasi Madani yang sedang digerakkan di negara ini.

“Dalam pertemuan ini, kami menyatakan komitmen bersama untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala serta meneroka ruang baharu yang boleh dimanfaatkan secara bersama.

“Malaysia turut menghargai kewujudan pelbagai mekanisme kerjasama seperti Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia untuk Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya (JC-ESTC) yang akan bersidang semula di Langkawi hujung tahun ini,” katanya menerusi media sosial beliau hari ini.

Mengulas aspek perdagangan, Anwar menyatakan hasrat Malaysia untuk menggandakan eksport produk bernilai tambah tinggi ke Rusia.

Ini termasuk peranti perubatan, bahan binaan dan panel solar, selain memperkukuh eksport komoditi utama seperti koko dan minyak sawit.

Pada masa sama, Malaysia juga mengalu-alukan pelaburan langsung asing (FDI) dari Rusia khususnya dalam sektor teknologi tinggi seperti aeroangkasa, ekonomi digital, tenaga dan agroteknologi.

“Kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga akan dipergiat bagi meningkatkan keupayaan inovasi bersama,” katanya.

Selain itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan penyambungan semula penerbangan terus Aeroflot ke Malaysia serta langkah-langkah meningkatkan keterhubungan dan pertukaran rakyat antara kedua-dua negara.

Sebagai simbol keakraban hubungan dua hala, Anwar turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Mishustin untuk mengadakan lawatan ke Malaysia bersama delegasi kerajaan dan perniagaan Rusia dalam masa terdekat. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan