MALAYSIA dan Rusia terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi satu Mesyuarat Meja Bulat yang menghimpunkan 24 pemain industri utama negara itu yang mewakili pelbagai sektor strategik.
Mesyuarat yang berlangsung di Hotel Metropol, Moscow, sebuah bangunan bersejarah di ibu kota Rusia itu, dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan rasmi ke negara tersebut.
Antara sektor yang terlibat termasuk makanan dan pertanian, peruncitan dan logistik, minyak dan gas, kewangan, perabot, kimia, bahan binaan serta pengurusan sisa.
Dalam kenyataan beliau, Anwar berkata, perbincangan yang berlangsung secara terbuka dan bermakna itu memberi ruang untuk meneroka kerjasama perdagangan dan pelaburan yang lebih mampan serta berimpak tinggi antara kedua-dua negara.
Hotel Metropol, yang pernah menjadi lokasi penting semasa era Tsar dan menjadi tempat pertemuan tokoh-tokoh besar dunia, turut menonjolkan warisan sastera Rusia menerusi bilik-bilik yang dinamakan sempena tokoh seperti Tolstoy, Turgenev dan Chekhov.

“Saya tertarik melihat bagaimana Rusia menghargai warisan budaya dan sastera mereka, yang menjadi peringatan bahawa kemajuan material perlu berpaksikan nilai-nilai jiwa, budaya dan kemanusiaan,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa sesi seperti ini penting dalam memperkukuh daya saing Malaysia dalam ekonomi global yang semakin mencabar, selaras dengan nilai-nilai Malaysia Madani.
“Nilai keterbukaan, rasa hormat dan tanggungjawab bersama harus menjadi teras dalam membentuk masa depan yang lebih adil dan sejahtera,” tambah beliau.
Mesyuarat ini dilihat sebagai langkah signifikan dalam merapatkan hubungan ekonomi Malaysia–Rusia serta membuka peluang baharu kepada perusahaan dan inovasi kedua-dua negara.
Turut serta beberapa menteri Kabinet antaranya Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Edisi 9

