33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Risen Energy labur RM42.2 bilion di Malaysia

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Syarikat pengeluar modul solar kelima terbesar di dunia, Risen Energy Co Ltd akan melabur sebanyak RM42.2 bilion di Malaysia mulai tahun ini hingga 2025.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam hantaran Facebook beliau, hari ini.

Menurut beliau, syarikat yang berpengkalan di China itu akan beroperasi di negara ini melalui Risen Solar Technology Sdn Bhd.

risen energy
Muhyiddin Yassin mengadakan mesyuarat secara maya bersama Xie Jian, Mohamed Azmin Ali dan Arham Abdul Rahman. – Gambar: Facebook Muhyiddin Yassin

Muhyiddin berkata, syarikat berkenaan juga telah mendapat kelulusan Lesen Pengilang dan Galakan Insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi aktiviti rekabentuk, pembangunan dan pengilangan sel solar dan modul solar di Malaysia.

“Insya-Allah, pelaburan untuk tempoh lima tahun dari 2021 hingga 2025 ini dijangka akan menjana 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia selain syarikat itu juga akan menjalinkan kerjasama dengan universiti/ institusi tempatan dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk pengambilan pelajar secara internship.

“Saya yakin kehadiran Risen Solar ini akan menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran berintegrasi bagi produk solar.

“Ketika ini terdapat beberapa syarikat pengeluar global solar seperti Jinko Solar, Longi Solar, JA Solar, Hanwha Q Cell, First Solar dan Sun Power sedang beroperasi di Malaysia,” katanya.

Beliau mengulas tentang mesyuarat secara maya bersama Pengerusi dan Presiden Risen Energy, Xie Jian pagi tadi.

Mesyuarat itu turut disertai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman.

risen energy
Projek Risen Energy di Straklevo, Bulgaria. – Gambar: Facebook Risen Energy Co., Ltd.

Perdana Menteri turut berkongsi dengan Xie Jian bahawa kerajaan Malaysia mengamalkan prinsip mesra pelaburan dan sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelaburan baharu dan berkualiti ke negara ini dengan pelbagai galakan dan insentif disediakan kepada pelabur dan bakal pelabur.

Beliau juga menegaskan akan memastikan pelaksanaan projek yang telah dirancang oleh syarikat tersebut berjalan dengan lancar.

“Pelaburan daripada syarikat Risen Energy ini merupakan satu kejayaan besar buat negara, sekali gus menunjukkan keupayaan pengurusan ekonomi Malaysia ketika dunia sedang bergelut dengan cabaran pandemik COVID-19.

“Alhamdulillah, trend kemasukan berterusan pelaburan asing berimpak tinggi ini tentunya menyuntik lebih keyakinan dalam kalangan komuniti pelabur luar terhadap prospek pemulihan ekonomi Malaysia selari dengan aspirasi Pelan Pemulihan Negara,” jelasnya.

Muhyiddin yakin pelaburan asing berimpak tinggi itu pasti akan membawa manfaat besar kepada masyarakat dari segi peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan. – EDISI 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan