31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Euro 2020: Sekatan longgar, jangkitan COVID-19 meningkat

Mesti Baca

COPENHAGEN – Beberapa bandar yang menjadi lokasi perlawanan kejohanan UEFA Euro 2020 mencatatkan peningkatan kes jangkitan positif COVID-19.

Memetik laporan AFP, Pengarah Eksekutif Pejabat Wilayah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Eropah, Robb Butler bimbang ekoran kelonggaran dari segi sekatan yang diberikan oleh negara-negara Eropah terbabit.

“Kami bimbang dengan tindakan tuan rumah yang melonggarkan sekatan COVID-19 selepas mendapati beberapa stadium yang mengadakan perlawanan membenarkan kemasukan penonton melebihi had sepatutnya,” katanya menerusi e-mel kepada AFP.

Walau bagaimanapun, WHO tidak mendedahkan nama bandar yang mengambil tindakan sedemikian.

Di Denmark, sebanyak 29 kes dikesan berkaitan dengan perlawanan di Copenhagen.

Pegawai kesihatan, Annette Lykke Petri berkata, jumlah penonton yang dibenarkan memasuki stadium ditambah kepada 25,000 berbanding 16,000 dan jumlah tertinggi dalam perlawanan antara Denmark dan Belgium.

Di Stadium Arena Puskas, Budapest, Hungary pula kapasiti penonton mencecah sehingga 68,000 orang.

Selain itu, Britain semalam mengumumkan akan membenarkan lebih 60,000 penonton untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir dan akhir di Stadium Wembley di London.

Sebelum ini, negara itu hanya membenarkan kehadiran sebanyak 40,000 penonton untuk menyaksikan perlawanan tersebut iaitu membabitkan kira-kira 50 peratus kapasiti di stadium.

Pengumuman terkini itu menyaksikan peningkatan 75 peratus kapasiti penonton bagi tiga perlawanan terakhir dengan perlawanan akhir akan berlangsung 11 Julai ini.

Tambah Butler, WHO mengesan peningkatan kes COVID-19 di beberapa bandar yang menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Euro 2020.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, WHO menggesa pihak berkuasa di bandar yang menganjurkan perlawanan di kawasan masing-masing khususnya di lokasi kes COVID-19 yang tinggi untuk bertindak segera.

Sementara itu, UEFA memaklumkan pihaknya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menukar lokasi perlawanan separuh akhir dan akhir.

UEFA juga dikatakan dalam perbincangan dengan kerajaan Britain untuk memohon melonggarkan sekatan perjalanan bagi membenarkan 2,500 orang kenamaan (VIP) untuk menghadiri perlawanan akhir.

Sekatan di dalam stadium juga kelihatan agak longgar di mana para penonton tidak mematuhi penjarakan fizikal 1 meter serta tidak memakai pelitup muka.

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan