32.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, March 26, 2023

Polis nafi kasari suspek keganasan rumah tangga

Mesti Baca

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan seorang lelaki kononnya dia dikasari polis selepas diambil keterangan berkaitan kes masalah rumah tangga baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, lelaki terbabit, Joseph Prakash Sukumaran hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk rakaman percakapan bersabit satu laporan polis yang dibuat oleh isterinya berkaitan kes keganasan rumah tangga.

Menurut beliau, semasa terserempak dengan isterinya, suspek mengugut mahu membunuh wanita itu dan bertindak agresif.

“Polis telah menasihatkan suspek agar jangan membuat bising di kawasan balai polis, namun suspek tidak mengendahkan nasihat yang diberikan dan telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada polis iaitu ‘polis bodoh’ dan sekali lagi bertindak agresif.

“Semasa proses tangkapan terhadap suspek telah berlaku pergelutan dan polis terpaksa menggunakan kekerasan paling minimum.

“Suspek telah ditangkap atas kesalahan di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967, Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Baca juga:   Mendiang Baharuddin, Norihan dinaikkan pangkat Sarjan, dicadang PGB

Arjunaidi mengulas laporan Free Malaysia Today semalam bertajuk Man alleges abuse by cops after lodging domestic squabble report serta menyatakan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar.

Beliau menambah, ujian saringan awal yang dijalankan oleh polis mendapati suspek positif dadah jenis metamphetamine.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan jenayah kekerasan dan narkotik,” jelasnya.

Baca juga:   Dua beranak ditahan disyaki pecah amanah lebih RM300 juta

Arjunaidi memberitahu, suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 11 Jun lalu di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967, dua pertuduhan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, suspek tidak mengaku bersalah dan telah dibebaskan dengan jaminan mahkamah.

“Sejurus dibebaskan, pada 11 Jun lalu, suspek telah membuat laporan di Balai Polis Bandar Kinrara mengatakan telah dipukul dan dikasari oleh polis semasa hadir memberi keterangan bersabit kes keganasan rumah tangga.

“Satu kertas siasatan enkuiri polis telah dibuka bagi menjalankan siasatan terhadap laporan yang dibuat oleh suspek dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah mengambil alih siasatan kes ini,” ujarnya. – EDISI 9

Wartawan

Terkini

Arif Aiman dan Endrick alami kecederaan, terlepas aksi perlawanan Hong Kong

SKUAD Harimau Malaysia kehilangan dua tonggak utama Arif Aiman dan Endrick dos Santos akibat kecederaan menjelang aksi persahabatan antarabangsa...

Lagi Artikel Berkaitan