26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

PIKAS: Kos sampingan ditanggung syarikat, bukan pekerja – MITI

Mesti Baca

CYBERJAYA – Kos sampingan pemberian vaksin di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) sepatutnya ditanggung oleh syarikat dan bukannya pekerja.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, walaupun vaksin Covid-19 adalah percuma, namun syarikat yang mahu pekerja mereka divaksin perlu menanggung kos samping.

Justeru, majikan tidak dibenar memotong gaji pekerja bagi menampung yuran pentadbiran kepada klinik perubatan am swasta atau pusat pemberian vaksin (PPV) swasta yang memberi suntikan vaksin.

Ini termasuk terhadap para pekerja tidak lagi bekerja di syarikat sama sebelum imunisasi penuh pekerja berkenaan.

“Kerajaan komited untuk memastikan pekerja mendapat vaksin percuma di bawah PIKAS, yang disokong sektor swasta,” kata kenyataan itu hari ini.

PIKAS akan bermula pada 16 Jun ini dengan vaksinasi dijalankan di premis kilang dan lokasi perindustrian dikenal pasti.

MITI berkata, syarikat dalam subsektor pembuatan kritikal, termasuk elektrik dan elektronik, pemprosesan makanan, besi dan keluli, alat perubatan, alat perlindungan diri (PPE), minyak dan gas serta produk getah, termasuk pembuatan sarung tangan perubatan, akan diberikan keutamaan untuk vaksinasi.

Setakat ini, MITI menerima permohonan daripada lebih 500 syarikat membabitkan 106,591 pekerja untuk menyertai PIKAS.

“Syarikat pembuatan lain yang berminat mengambil bahagian disaran mengemukakan permohonan melalui persatuan industri dan dewan perniagaan sektor masing-masing.

“Keutamaan vaksinasi syarikat akan ditetapkan mengikut beberapa pertimbangan, termasuk lokasi syarikat di zon merah Covid-19.

“Syarikat perlu mengikut terma dan syarat, antaranya pekerja perlu berdaftar dalam aplikasi MySejahtera untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” kata kementerian itu.

Menurut MITI, sesi libat urus tambahan akan diadakan dengan persatuan industri dan dewan perniagaan berkaitan untuk menyelaras PIKAS. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan