30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Cadangan MAGERAN Dr. Mahathir ‘separuh masak’

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh DATUK DR.MARZUKI MOHAMAD

SAYA ingin mengulas sedikit mengenai cadangan MAGERAN yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seperti yang dilaporkan oleh media.

Pertamanya, menurut  Dr Mahathir, MAGERAN akan dianggotai oleh sekumpulan 20 orang pakar dalam pelbagai bidang yang bukan merupakan orang politik. 

Yang akan mengetuai MAGERAN adalah seorang yang berpengalaman mengurus banyak krisis sebelum ini, seorang pemimpin yang telah teruji, berintegriti dan mampu mengarahkan jentera kerajaan dan masyarakat seluruhnya. 

Dr Mahathir tidak menyatakan dengan jelas bahawa orang itu ialah beliau, tetapi cuma menyebut beliau sanggup menawarkan khidmatnya.

Keduanya, MAGERAN akan mencadangkan dasar dan undang-undang untuk diluluskan oleh Parlimen. 

Ketiganya, pentadbiran MAGERAN akan berlanjutan sehingga krisis ekonomi, kesihatan, politik dan pendidikan berakhir. Beliau memberi bayangan sehingga PRU 15 pada tahun 2023. Bermakna MAGERAN akan berfungsi selama 2 tahun dari sekarang sekiranya ia diwujudkan.

Pandangan saya begini,

Ya, cadangan untuk melantik seratus peratus golongan pakar yang bukan merupakan orang politik untuk menggantikan Kabinet yang dianggotai oleh orang-orang politik sebagai badan eksekutif tertinggi negara nampak agak menarik tatkala masyarakat mempunyai tanggapan yang agak negatif terhadap orang politik. Mungkin idea ini boleh dicuba.

Tetapi saya ingin memberikan sedikit peringatan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang berasaskan Westminster System, cabang Eksekutif terbahagi kepada dua, iaitu political executive dan professional executive

Political executive adalah anggota pentadbiran yang terdiri daripada Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Perdana Menteri mestilah seorang Ahli Dewan Rakyat manakala Menteri dan Timbalan Menteri boleh dilantik dalam kalangan ahli mana-mana Dewan Rakyat atau Dewan Negara. 

Ringkasnya, political executive secara umumnya adalah terdiri daripada ahli-ahli politik yang sama ada dipilih dalam pilihanraya atau dilantik sebagai senator. 

Ada juga golongan teknokrat yang dilantik sebagai senator dan kemudiannya menjadi Menteri atau Timbalan Menteri. Mereka ini bukan ahli politik. Tetapi terdapat dalam kalangan mereka yang kemudiannya bertanding dalam pilihanraya dan menjadi ahli politik juga akhirnya.

Professional executive pula adalah terdiri daripada para penjawat awam yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara. Tugas penjawat awam daripada Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha-Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua-Ketua Jabatan sehinggalah kepada kakitangan sokongan di jabatan dan agensi adalah untuk melaksanakan segala dasar yang diputuskan oleh kerajaan.

They serve the government of the day. Tidak kira parti mana pun yang memerintah, mereka kekal berkhidmat dalam perkhidmatan awam sehinggalah mereka bersara.

Dalam menjalankan tugas dan fungsi masing-masing, kedua-dua political executive dan professional executive dipandu oleh dasar yang diputuskan oleh Kabinet sebagai badan eksekutif tertinggi negara dan juga undang-undang yang diluluskan oleh parlimen sebagai badan legislatif tertinggi negara. Mereka tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya. 

Malah, dalam membuat dasar dan menggubal undang-udang pun, pihak political executive sentiasa dipandu dan dibantu oleh professional executive. The wisdom of the political executive and the expertise of the professional executive is the right combination to ensure the country’s administration runs smoothly.

Selagi mana prinsip ini dipegang dan diamalkan, wujudlah hubungan  harmoni yang saling mengukuhkan antara political executive dan professional executive. 

Sepanjang saya berkhidmat sebaga Ketua Setiausaha Sulit Kepada Perdana Menteri, saya menerima banyak cadangan dan permohonan daripada pelbagai pihak untuk pertimbangan Perdana Menteri. Biasanya Perdana Menteri akan mengarahkan saya untuk mendapatkan ulasan daripada kementerian dan jabatan berkenaan sebelum beliau membuat pertimbangan.

Sebagai professional executive, kementerian dan jabatan yang berkaitan akan mengemukakan ulasan berdasarkan dasar, peraturan dan undang-undang yang sedang berkuatkuasa. 

Sekiranya cadangan dan permohonan tersebut adalah selari dengan dasar, peraturan dan undang-undang, maka Perdana Menteri boleh mempertimbangkan permohonan tersebut. Jika bercanggah, sudah tentulah ia terpaksa ditolak.

Pastinya ada pihak yang tidak berpuashati apabila permohonan mereka ditolak. Tetapi apa boleh dibuat. This is the nature of a civilian government with no absolute power. Perdana Menteri dan Menteri mesti bertindak berdasarkan dasar dan undang-undang.

Selain itu, ada badan-badan tertentu yang mengawasi tindak-tanduk anggota pentadbiran dan anggota perkhidmatan awam. Ada Jabatan Audit Negara yang mengaudit setiap perbelanjaan jabatan kerajaan.

Ada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara yang meneliti laporan Ketua Audit Negara. Ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah yang menyiasat perlakuan rasuah dan salahguna kuasa.

Anggota Jemaah Menteri juga adalah ahli-ahli parlimen yang bertanggungjawab secara kolektif kepada Parlimen dan akhirnya kepada rakyat apabila penggal Parlimen berakhir atau Parlimen dibubarkan dan pilihanraya diadakan. 

Mereka pastinya tidak akan buat-buat pandai untuk melaksanakan dasar dan mengambil tindakan yang menjejaskan kepentingan rakyat kerana akhirnya prestasi mereka akan diukur dan dinilai oleh rakyat dalam pilihanraya. Jika dibuat juga, risiko untuk kalah dalam pilihanraya adalah tinggi.

Bagaimana pula dengan cadangan MAGERAN yang dianggotai oleh kumpulan pakar ini? Mereka bukan Ahli Parlimen jadi sudah tentu mereka tidak bertanggungjawab secara kolektif kepada Parlimen. Mereka juga bukan ahli politik yang dipilih oleh rakyat jadi mereka tidak boleh dikatakan bertanggungjawab kepada rakyat.

Jika tak kena gayanya, tanpa niat untuk merendahkan kepakaran atau keikhlasan mana-mana orang yang mungkin ada dalam pemikiran Dr Mahathir untuk dilantik menganggotai MAGERAN yang dicadangkan olehnya, kumpulan ini berkemungkinan akan menjadi another cabbal with an absolute power and with no accountability to the Parliament and the people. Sadly, it will spell death knell for democracy.

Mungkin untuk memberikan gambaran bahawa MAGERAN yang dicadangkan itu mempunyai ciri-ciri demokrasi, Dr Mahathir mencadangkan agar segala dasar dan undang-undang yang hendak dilaksanakan mestilah dibahas dan diluluskan oleh Parlimen. Saya tidak pasti sama ada langkah ini akan berjaya. 

Adakah ahli-ahli Parlimen ini yang diketepikan daripada mengambil bahagian dalam pentadbiran negara sebagai political executive akan menyokong rang undang-undang yang dikemukakan oleh MAGERAN?

Setakat ini pun, beberapa parti politik yang mana sebahagian ahli-ahli Parlimen merupakan ahli parti berkenaan telah menentang cadangan ini.

Tambahan pula, atas kapasiti apa anggota MAGERAN hendak membentangkan rang undang-undang di Parlimen kerana mereka bukan ahli parlimen.

Tidakkah ini akan menjadikan keadaan politik lebih huru-hara dan pentadbiran kerajaan terencat? Mungkin Bajet pun tidak boleh diluluskan dan kerajaan tidak mempunyai wang untuk dibelanjakan bagi membayar gaji, melaksanakan projek pembangunan, membayar hutang dan membiayai program kebajikan rakyat.

Sampai bilakah keadaan ini akan berlarutan?

Menurut cadangan Dr Mahathir mungkin sehingga PRU 15 diadakan iaitu lebih kurang dua tahun dari sekarang. Bolehkah negara kita bertahan menghadapi krisis politik dan Perlembagaan untuk tempoh dua tahun akan datang.

Sedangkan Darurat yang sedang berkuatkuasa pada masa ini, bergantung kepada syor Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, akan berakhir dalam tempoh kurang dua bulan dari sekarang.

Saya fikir cadangan MAGERAN yang dikemukakan oleh Dr Mahathir tidak diteliti dan dikaji dengan betul. Ia masih cadangan yang bersifat ‘separuh masak’. Adalah tidak wajar cadangan ‘separuh masak’ seperti ini dipersembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong.

Seperkara lagi yang saya hendak sentuh ialah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan menghendaki Yang Di-Pertuan Agong dalam menjalankan fungsinya di bawah perlembagaan dan undang-undang Persekutuan bertindak atas nasihat Jemaah Menteri. 

Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan, “Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

Perkara 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan “Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu”. 

Fasal 1A ini dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Sepanjang tempoh Darurat berkuatkuasa, Perkara 40 (1) dan  (1A) Perlembagaan Persekutuan masih terpakai.

Jadi seeloknyalah, jika pun ada pihak yang ingin mencadangkan penubuhan MAGERAN, cadangan ini mesti dipertimbangkan oleh Kabinet terlebih dahulu dan Perdana Menteri lah yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenainya, bukan sebaliknya.

Justeru, tidak perlulah mana-mana pihak memberi tekanan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam hal ini.

Kedudukan Seri Paduka sebagai Ketua Negara adalah paling tinggi dalam sistem kerajaan di negara kita dan penghormatan mestilah diberikan kepada Seri Paduka untuk menjalankan fungsi sebagai Raja Berperlembagaan.

  • Datuk Dr. Marzuki Mohamad adalah Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan