24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Pengambilan one-off selesai isu kurang guru – CUEPACS

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berpandangan, pengambilan khas 18,702 guru baharu secara one-off memperlihatkan kerajaan serius ingin menyelesaikan masalah kekurangan tenaga pengajar di sekolah.

Presidennya, Adnan Mat berkata, masalah tersebut telah berpanjangan sejak sekian lama dalam dunia pendidikan negara.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu, CUEPACS sangat menghargai keprihatinan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dalam memastikan sistem penyampaian pendidikan negara yang ditunjangi guru-guru berada di landasan yang sepatutnya.

“CUEPACS juga berharap guru-guru muda yang bakal diambil kelak menggunakan peluang sebaiknya bagi mendidik anak bangsa.

“Berikan contoh yang baik kepada anak-anak didik dan masyarakat di luar sana agar profesion perguruan disanjung dan dipandang tinggi.

“Andalah penerus kepada legasi kecemerlangan negara pada masa akan datang. Anda membawa nama baik perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kelmarin, Radzi mengumumkan, masalah kekurangan guru di seluruh negara dapat diatasi melalui pengambilan khas seramai 18,702 pegawai perkhidmatan pendidikan gred DG41 secara serentak.

Antara negeri-negeri yang didapati berdepan masalah kekurangan guru adalah Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.

Radzi memberitahu, iklan pengambilan guru baharu akan disiarkan pada 7 Julai ini dan penempatan secara berperingkat bakal dimulakan pada Oktober.

Adnan menambah, walaupun kerajaan dilihat serius dan ingin menyelesaikan isu kekurangan guru dalam masa yang singkat, CUEPACS berharap aspek kualiti, kemahiran dan minat calon-calon guru yang akan dipilih kelak diberi keutamaan oleh Kementerian Pendidikan.

Advertisements

Menurut beliau, ketiga-tiga elemen itu perlu diberi penekanan kerana cabaran yang dihadapi dalam dunia perguruan ketika ini amat besar dan memerlukan mereka yang mempunyai kualiti, kemahiran dan minat yang mendalam.

“CUEPACS tidak mahu pengambilan secara besar-besaran ini hanya mampu menyelesaikan isu kekurangan guru semata-mata tetapi tidak memberi impak yang diharapkan.

“Ketika ini ramai graduan daripada siswasah pendidikan masih tidak mendapat penempatan dan jika mereka layak keutamaan seharusnya diberikan kepada mereka.

“Tempatkan mereka berdasarkan opsyen mata pelajaran masing-masing supaya kemahiran dan keupayaan mereka dapat digunakan dengan lebih berkesan,” jelasnya.

Adnan berkata, CUEPACS melihat pengambilan guru secara besar-besaran ini tidak sewajarnya diteruskan pada masa hadapan.

Sebaliknya, kata beliau, pengambilan perlu dilakukan secara berperingkat mengikut kekosongan semasa.

“Langkah ini lebih wajar kerana ia mampu mengatasi masalah semasa dan bukannya dikumpulkan untuk diselesaikan dalam satu tempoh sahaja,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Adnan memberitahu, CUEPACS juga berharap Kementerian Pendidikan menyelesaikan masalah permohonan pertukaran guru sedia ada ketika ini sebelum memberi penempatan kepada guru-guru baru tersebut.

“Selesaikan dahulu permohonan guru-guru lama yang memohon untuk bertukar terutama kepada pasangan jarak jauh, mempunyi ibu bapa yang uzur atau menghadapi masalah kesihatan yang serius.

“Guru-guru yang bakal diambil tidak ditempatkan ke negeri yang ada permintaan pertukaran guru tinggi seperti Kelantan, Kedah, Terengganu kerana akan menjejaskan peluang guru lama yang telah memohon,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan