26.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, June 22, 2024

Usah pinggir kepakaran guru dalam realisasi matlamat pendidikan

Mesti Baca

Oleh DR ABD RAZAK ZAKARIA

PROFESION perguruan bukan lagi asing dalam kerjaya murni di mana-mana negara malahan profesion ini sejak dahulu lagi menjadi kerjaya pilihan dalam kalangan lepasan diploma dan ijazah.

Sejak akhir-akhir ini isu berkaitan persaraan guru senior yang berlaku secara mendadak menunjukkan profesion ini sedikit merudum.

Namun, kerajaan kembali menjadikan profesion ini popular dengan menawarkan pengambilan baru yang agak tinggi setiap tahun.

Pengambilan jawatan guru bagi menggantikan guru yang bersara saban tahun menjadikan profesion ini kembali menjadi rebutan walaupun kerjaya sebagai seorang guru bukanlah semudah yang disangkakan.

Namun, sejauh mana guru-guru kini dihargai sebagai satu kerjaya profesional dan menjadi tunjang kepada pembentukan generasi madani sebagaimana yang diharapkan oleh negara.

Profesion perguruan satu ketika dahulu dipandang sepi kerana kerjaya yang agak statik dengan tingkat gaji yang kurang menarik berbanding dengan kerjaya lain yang lebih menjanjikan gaji yang lebih lumayan.

Persekitaran kerjaya yang agak terhad dan rutin kerja yang berulang menjadikan kerjaya ini kurang diminati oleh lepasan universiti.

Namun, pembangunan kerjaya dan penambahbaikan yang telah dilakukan oleh kerajaan menjadikan kerjaya sebagai seorang guru lebih menarik dengan persekitaran yang memberi ruang untuk peningkatan kualiti guru dan kerjaya profesional yang lebih menarik.

Kenyataan Menteri Pendidikan baru-baru ini dilihat sangat positif dalam memartabatkan semula profesionalisme guru dengan melibatkan mereka dalam Pembangunan Kurikulum dan Pentaksiran dalam Pendidikan (PKPP).

Menurut Fadlina Sidek, guru-guru akan diberikan lebih kebebasan dalam pembentukan kurikulum baharu sekolah yang akan diperkenalkan pada 2027.

Sejauh mana ini benar masih lagi menjadi pertanyaan kepada guru-guru kerana selama ini mereka tidak diperlukan dalam memberi pandangan dalam mana-mana pembinaan kurikulum dan pentaksiran pendidikan.

Mereka hanya menerima kurikulum baharu dan bentuk pentaksiran untuk dilaksanakan di sekolah.

Advertisements

Kepakaran guru yang berkhidmat di sekolah puluhan tahun seharusnya diambil kira kerana mereka bukan sahaja pelaksana malahan mereka juga orang yang berada dipersekitaran bagi melaksanakan misi dan visi kerajaan.

Pengetahuan dan kemahiran mereka tidak perlu lagi dipertikaikan kerana merekalah orangnya yang lebih layak untuk memberi pendapat dan pandangan dalam membentuk kurikulum dan pentaksiran setelah mengabdikan diri puluhan tahun dalam persekitan pendidikan.

Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) amat memerlukan pandangan guru-guru dalam merangka penilaian yang jitu kerana mereka sangat dekat dengan murid-murid dan bentuk pentaksiran yang berkesan yang perlu dilaksanakan bagi mengukur kualiti murid daripada pelbagai sudut.

Selama ini mereka hanya menerima tanpa membantah walaupun hakikatnya pentaksiran yang dibuat tidak mengukur kualiti murid secara menyeluruh.

Guru-guru di sekolah tidak diajak berbincang tentang PKPP kerana Kementerian Pendidikan (KPM) seolah-olah menafikan kualiti kepakaran guru-guru senior dalam memberi impak kepada pembangunan pendidikan.

Sedangkan kepakaran guru di sekolah standing dengan kepakaran pensyarah universiti mahupun pegawai-pegawai atasan yang lebih melihat kepada tingkat jawatan tetapi tidak melihat kepada persekitaran perlaksanaan.

Ilmu yang ada pada guru-guru yang mempraktikkan pentaksiran dan pengetahuan tentang kurikulum seharusnya dimartabatkan kerana mereka berada dalam situasi mendidik dan mereka lebih tahu akan situasi semasa dan keperluan pentaksiran dalam kurikulum.

Penglibatan guru-guru dalam pembentukan kurikulum dan pentaksiran sepatutnya sejak dahulu lagi dilaksanakan.

Kenyataan Menteri Pendidikan ini telah menyedarkan semua pihak terutama pembuat dasar akan keperluan guru-guru dilibatkan sama dalam mana-mana agenda pendidikan terutama yang berkaitan tentang PKPP.

Ini penting kerana guru-guru adalah sebahagian daripada pendidikan itu sendiri dan mahu atau tidak profesionalisme perguruan mereka
harus diberikan perhatian dalam sama-sama membangunkan pendidikan sejajar dengan keperluan masyarakat dan negara.

Justeru, ini bertepatan dengan tema hari guru yang dicanang setiap tahun dalam membangunkan profesionalisme guru dan sekaligus meletakkan kerjaya guru standing dengan kerjaya profesional yang dipandang mulia di mata dunia.

Sekiranya KPM benar-benar ikhlas dengan kenyataan yang dikeluarkan, maka pastinya para guru di Malaysia amat berbesar hati dalam menabur bakti dan sekaligus menjadikan kerjaya mereka sebahagian daripada keperluan dalam membina masa depan negara.

Apa pun yang akan berlaku dalam pendidikan selepas ini, guru-guru harus diberikan ruang untuk bersama-sama melibatkan diri agar kerjaya mereka terus berkembang dan menjadi nadi kepada pembangunan insan dan negara.


Penulis merupakan Pengerusi, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga Universiti Malaya (UMFRDC), dan boleh dihubungi di [email protected]
Advertisements

Terkini

PRK Sungai Bakap: Pilih Cikgu Joohari atau Abang Abidin

PENGUNDI di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akan membuat pilihan sama ada Cikgu Joohari atau Abang Abidin sebagai...

Lagi Artikel Berkaitan