29.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, January 21, 2025

Meter pantau keretakan dipasang pada tiang Lebuh Raya SPE

Mesti Baca

MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengarahkan meter pemantau keretakan dipasang pada tiang jejambat Lebuh Raya Setiawangsa-Pantai (SPE).

Menurut beliau, pemasangan meter tersebut untuk tempoh sebulan untuk mengesan sebarang pergerakan atau keretakan jika berlaku pada jejambat lebuh raya bertingkat tersebut.

Beliau berkata, pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pula diminta memantau keadaan berkenaan dan membuat laporan kepadanya sepanjang tempoh tersebut.

“Walaupun berpuas hati tetapi saya tetap mengarahkan ‘crack monitoring meter’ dipasang di tiang terlibat bagi mengesan sebarang pergerakan atau keretakan.

“Alat ini akan dipasang selama sebulan bagi memantau keadaan tiang jejambat dan laporan akan disediakan oleh LLM,” katanya hari ini.

Nanta Linggi melihat dan menyentuh jejambat yang dikatakan retak.

Beliau berkata demikian selepas turun padang dan melihat sendiri keadaan palang jejambat SPE yang sebelum ini mencetuskan kekecohan apabila ada pihak mendakwa berlaku keretakan berhampiran Jalan Cheras di ibu negara.

Nanta Linggi berkata, beliau bersama pasukan Kementerian Kerja Raya (KKR), LLM dan wakil syarikat konsesi SPE telah menaiki kren setinggi 16.1 meter.

Katanya, ia bagi melihat dengan lebih dekat dan menyentuh kesan yang dikatakan retakan di tiang jejambat yang terlibat.

Beliau berkata, pihak konsesi dan jurutera profesional yang turut bersama telah mengesahkan tiada keretakan pada tiang yang dimaksudkan.

“Saya memberi jaminan kepada semua penguna jalan raya bahawa laluan ini selamat digunakan.

Advertisements

“Terima kasih juga kepada orang awam yang telah menyalurkan aduan,” katanya.

Dari jauh memang nampak macam retak tetapi bukan.

Selari dengan semangat MYJalan yang didukung KKR, beliau berharap masyarakat akan terus berganding bahu bersamanya untuk menjadi mata dan telinga bagi mengetengahkan apa sahaja isu kerosakan infrastruktur rakyat.

“Seperti yang selalu saya tekankan, tiada kompromi apabila melibatkan nyawa rakyat,” katanya.

Malam semalam, satu akaun X telah memuat naik gambar yang menunjukkan keadaan salah satu palang jejambat SPE yang didakwa mengalami keretakan.

Menerusi ciapan itu, akaun tersebut membuat perbandingan dua keping gambar jejambat yang sama iaitu rakaman oleh Google Map yang dibuat pada April lalu dan gambar yang dirakam seorang pengguna jalan raya pada bulan ini.

“Eh flyover (jejambat) ni makin besar crack (retak) ke? Member tadi tengok. Dekat Jalan Cheras,” katanya.

Ekoran itu, Nanta Linggi telah mengarahkan LLM dan pihak konsesi lebuh raya berkenaan menjalankan siasatan dengan serta-merta berhubung dakwaan tersebut.

Susulan itu, pihak LLM bersama SPE dan pihak perunding telah melakukan pemeriksaan segera di tapak berkenaan pada pukul 11.30 malam yang sama.

Bagaimanapun, mereka mengesahkan tiada sebarang keretakan pada palang jejambat tersebut sebaliknya ia hanya kesan penyambungan konkrit yang membentuk garisan hitam.

“Consultan juga mengesahkan struktur portal lebuh raya tidak terjejas dan selamat. Satu laporan pemeriksaan dan pengesahan selamat akan disediakan dan akan dikemukakan kepada LLM,” kata KKR semalam. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tiada lagi pemberian tol percuma di musim perayaan – Alexander

TIADA lagi pemberian tol percuma di musim perayaan mulai tahun ini. Itu keputusan yang dibuat dalam satu mesyuarat Kabinet...

Lagi Artikel Berkaitan