29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Pemimpin PAN, Faiz Fadzil berdepan tuduhan serangan seksual

Mesti Baca

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang, Muhammad Faiz Fadzil didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam semalam atas tuduhan melakukan serangan seksual bagi mencabul kehormatan seorang jurujual wanita.

Memetik laporan BH Online, Muhammad Faiz, 44, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali, semalam.

Perkara berkenaan disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Ahmad Zakiuddin, yang mengendalikan kes tersebut.

Menurut kertas pertuduhan, Muhammad Faiz didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang wanita berusia 31 tahun, antara pukul 9.45 dan 11.30 malam, pada 8 Mac lalu.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu ketika berada dalam sebuah kereta dari pusat beli-belah Sunway Pyramid ke Subang Jaya dan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, dengan syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 6 Ogos ini.

Pada prosiding itu, Muhammad Faiz diwakili peguam Abdul Aziz Hamzah, Surya Putra Mohamed Taulan, Hairulallias Shaari dan Ahmad Faiq Azizan.

Pada 23 Mac lalu, Muhammad Faiz mengesahkan dipanggil untuk siasatan polis pada 18 Mac lalu berkaitan laporan polis terhadapnya.

Pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) itu berkata, beliau sudah memberikan kerjasama kepada pihak polis dan akan terus memberikan kerjasama bagi membantu proses siasatan.

Pada hari yang sama, beberapa portal melaporkan tentang laporan polis yang dibuat oleh seorang aktivis PKR mendakwa seorang ahli politik pembangkang meraba tubuhnya.

Difahamkan, kejadian itu berlaku di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dan di dalam kereta ahli politik itu.

Pengadu berkata, pada mulanya dia bertemu dengan ahli politik itu pada Januari, dan kemudian bertemu kali kedua selepas bersetuju untuk makan malam pada hari kelahirannya.

Wanita itu berkata, dia bersetuju untuk makan malam bersama kerana ‘berbesar hati’ kerana dibelanja ahli politik tersebut.

Walau bagaimanapun, dia mendakwa lelaki itu cuba memeluk dan merabanya di dalam kereta ketika menuju ke sebuah restoran.

Menyedari perbuatannya tidak disenangi, lelaki itu kemudian memintanya untuk merahsiakan kejadian tersebut.

Dalam laporan tersebut juga, wanita itu mendakwa mengalami ‘gangguan emosi’ sejak kejadian serangan seksual tersebut. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan