27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Pekebun didakwa laku amang seksual, rogol anak tiri sejak 2018

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Seorang pekebun dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual dan merogol anak perempuan tirinya, di sebuah rumah dekat Tanah Merah, sejak 2018 hingga Mei lepas.

Lelaki berumur 58 tahun itu mengaku tidak bersalah, selepas lima pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap anak tirinya yang berusia 12 tahun di sebuah rumah di sebuah kampung di Tanah Merah, pada 11 malam, Disember 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Hukuman itu juga dibaca bersama Seksyen 16 akta sama iaitu tambahan pemenjaraan tidak melebihi lima tahun serta tidak kurang daripada dua sebatan, memandangkan wujud hubungan amanah antara tertuduh dan mangsa.

Advertisements

Bagi pertuduhan kedua hingga kelima, lelaki itu dituduh  merogol kanak-kanak berkenaan di tempat  sama pada pukul 11 malam, 8 malam dan 2 petang  antara Januari 2019 dan 12 Mei lepas mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun serta 10 kali sebatan minimum, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Itah Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hajarul Falenna Itah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh, bagi melindungi keselamatan mangsa yang tinggal bersama tertuduh.

Mahkamah tidak membenarkan lelaki itu diikat jamin dan 18 Julai ditetapkan untuk sebutan semula kes, bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.

Advertisements

Terkini

UM mohon maaf berhubung kenyataan penceramah pro-Israel

UNIVERSITI Malaya (UM) memohon maaf berhubung kenyataan kontroversi seorang penceramah jemputan pro-Israel yang menuduh tindakan ahli politik Malaysia menyokong...

Lagi Artikel Berkaitan