26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Kadar kemiskinan tegar Malaysia berkurangan pada 2019

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Secara keseluruhan, Malaysia telah mencapai kemajuan yang baik terutamanya dalam menangani kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, berdasarkan metodologi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019, kadar kemiskinan mutlak telah berkurang kepada 5.6 peratus (405,441 isi rumah) pada tahun 2019 berbanding 7.6 peratus (525,743 isi rumah) pada tahun 2016.

Menurut beliau, kadar kemiskinan tegar juga telah berkurangan daripada 0.6 peratus (45,004 isi rumah) pada tahun 2016 kepada 0.4 peratus (27,158 isi rumah) pada tahun 2019.

“Insiden kemiskinan telah berkurang bagi semua kumpulan etnik dengan peratusan pengurangan terbesar dicatatkan oleh kaum bumiputera.

“Walau bagaimanapun, masih terdapat kelompok kemiskinan dan ketidaksamarataan, serta kemiskinan pelbagai dimensi – kemiskinan dalam konteks yang lebih luas, melibatkan aspek pendapatan dan bukan kewangan merangkumi kesihatan, pendidikan dan kemudahan asas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mustapa mengulas tentang webinar Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang bertema Bina Kembali: Menangani Kemiskinan dan Mempromosi Pembangunan Inklusif bagi menghadapi COVID-19, hari ini.

Tema tersebut adalah berkaitan matlamat SDG 1: Menghapus Kemiskinan.

Beliau menambah, impak pandemik COVID-19 kepada ekonomi Malaysia telah menjejaskan pendapatan rakyat dan menyebabkan lebih banyak isi rumah terdedah kepada kemiskinan, terutamanya dalam kalangan B40 dan golongan rentan.

“Berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan, pandemik ini telah menyebabkan kadar kemiskinan di Malaysia meningkat daripada 5.6 peratus pada 2019 kepada 8.4 peratus pada tahun 2020.

“Laporan VNR 2021 ini juga mengenengahkan kejayaan Malaysia daripada aspek pertumbuhan ekonomi, penjagaan kesihatan awam, kelestarian alam sekitar, keselamatan awam serta hubungan antarabangsa.

“Walaupun telah banyak kejayaan dicapai, masih terdapat cabaran yang perlu ditangani bagi memastikan pencapaian Agenda 2030,” jelasnya.

Mustapa memberitahu, antara cabaran tersebut adalah isu malnutrisi, beban penjagaan kesihatan yang meningkat, jurang digital, jurang ketidaksamarataan, melindungi alam sekitar dan pembangunan inklusif.

Beliau berkata, pandemik COVID-19 telah memberi kesan terhadap pencapaian SDG, namun ia juga memberi peluang kepada Malaysia untuk menetapkan semula pembangunan negara ke arah masa depan yang lebih makmur, inklusif dan mampan.

“Susulan daripada webinar SDG hari ini, saya akan menubuhkan dan mempengerusikan ‘Poverty Circle’ yang dianggotai oleh wakil-wakil kerajaan, swasta, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan tokoh-tokoh akademik bagi membincang dan merangka strategi terbaik menangani kemiskinan khususnya ketika pandemic COVID-19. ‘Poverty Circle’ ini akan diurusetiakan oleh UPE,JPM.

“Kerajaan komited dalam memastikan kesemua 17 SDG tercapai sepenuhnya. Dalam hubungan ini, strategi dan keutamaan pembangunan negara akan terus dijajarkan dengan SDG disamping pendekatan keseluruhan negara diterapkan dalam pelaksanaan inisiatif pembangunan,” ujarnya.

Sebanyak empat kertas dibentangkan dalam dua sesi perbincangan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Abdul Halim Abdul Aziz; Ketua Bahagian Jaringan dan Data Raya, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Madya Dr Azwan Abdullah; Pengarah Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development Universiti Sunway, Prof Woo Wing Thye dan Pengerusi bersama Malaysia CSO-SDG Alliance, Prof Datuk Dr Denison Jayasooria.

Sesi tersebut dipengerusikan oleh Felo Utama, Profesor Sains Politik, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Prof Datuk Dr Rashila Ramli dan Ketua Program, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Rusmawati Said,

Webinar yang menarik lebih 300 peserta itu dianjurkan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM) bersama Jeffrey Sachs Centre on Sustainable Development (JSC) dan Sustainable Development Solutions Network (SDSN) Malaysia.

Ia bersempena dengan Laporan Sukarela Kebangsaan 2021 (VNR 2021 – Voluntary National Review) ke Forum Politik Peringkat Tertinggi Mengenai SDG (HLPF – High-Level Political Forum on Sustainable Development) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang akan diadakan pada 15 Julai 2021. – EDISI 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan