MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) akan membantu bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang berhenti belajar untuk bekerja semata-mata kerana faktor kemiskinan.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau dimaklumkan bahawa pelajar tersebut memperoleh 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan CGPA 3.87 di peringkat Asasi.
“Lebih menyedihkan saya kerana pelajar ini bekas pelajar MRSM. Ayahnya sakit manakala ibunya hanya bekerja membantu membungkus nasi lemak.
“Apabila pelajar ini dapat e-mel bahawa pihak universiti tak dapat menawarkan bantuan, dia ambil keputusan sendirian untuk tidak meneruskan pengajian ke kampus induk… Sebaliknya, dia bekerja kilang untuk menampung keluarga,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Sehubungan itu, Asyraf Wajdi berkata, beliau telah minta UMNO Bahagian untuk bantu dapatkan bantuan kepada keluarga tersebut.
“Saya sendiri nak berjumpa dengan pelajar ini untuk memujuknya meneruskan pengajian.
“Saya dah berbincang dengan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA lepas subuh tadi dan bersetuju untuk menawarkan tempat dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di British Malaysia Institute (BMI) bawah UniKL yang seiring dengan pencapaian keputusan Asasinya.
“Sesungguhnya hanya dengan ilmu sahaja boleh merubah kehidupan,” katanya.
Sementara itu, usaha Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO itu mendapat pujian kalangan warganet dan mereka mendoakan pelajar terbabit berjaya pada mada depan serta dapat mengubah nasib keluarganya. – Edisi 9

