32.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

MEDAC, agensi beri moratorium, bantuan bersasar kepada PKS

Mesti Baca

CYBERJAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan agensinya menawarkan moratorium dan bantuan bersasar lain bernilai RM746.79 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membantu mengurangkan impak sekatan pergerakan penuh yang dilaksanakan di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata bantuan yang ditawarkan kementerian dan agensinya di harap dapat memberi manfaat kepada sejumlah 734,707 peminjam dan penyewa yang merangkumi perusahaan mikro dan perniagaan tidak formal termasuk dalam kategori B40.

“PKS terutamanya perniagaan mikro dan tidak rasmi adalah kumpulan yang terjejas teruk disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) di seluruh negara dan memerlukan semua bantuan untuk kekal bertahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Agensi MEDAC yang menawarkan moratorium dan bantuan bersasar adalah Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional, SME Corporation Malaysia (SME Corp), Perbadanan Nasional Bhd (PNS), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan UDA Holdings Bhd.

Wan Junaidi berkata, berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh MEDAC untuk mengukur kesan PKP 2.0 terhadap sektor PKS Februari lalu, lebih daripada separuh responden mengatakan bahawa mereka tidak pasti akan masa depan dan hanya mampu bertahan selama tiga hingga enam bulan sekiranya PKP terus berlanjutan.

“Sebahagian besar perniagaan kecil ini tidak mempunyai banyak simpanan untuk digunakan dan oleh yang demikian mereka memerlukan semua bantuan untuk bertahan.

Advertisements

“Kami berharap moratorium dan bantuan bersasar yang ditawarkan agensi di bawah MEDAC dapat membantu mereka dalam tempoh mencabar ini,” katanya.

Sementara itu, Wan Junaidi menjelaskan, MEDAC sedang melaksanakan satu lagi kaji selidik bagi mengukur kesan PKP 3.0 kepada sektor PKS, yang meliputi perusahaan mikro dan perniagaan tidak formal.

Katanya, memandangkan lebih 80 peratus PKS yang menawarkan perkhidmatan dan produk yang berada dalam perkhidmatan tidak penting, banyak peserta industri akan terjejas disebabkan sekatan pergerakan yang lebih ketat kali ini.

“Berdasarkan tinjauan sebelumnya, selain dari aspek kewangan, banyak pengusaha mengakui bahawa mereka juga mengalami ‘keletihan’ COVID-19 berikutan banyak ketidakpastian terutama mengenai prosedur operasi standard (SOP) operasi.

“Dari tinjauan terbaharu ini, kami berharap dapat menilai keadaan dengan lebih baik dan seterusnya dapat membantu kami tampil dengan bantuan dan program yang lebih tepat yang paling sesuai dengan PKS,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan