30.9 C
Kuala Lumpur
Monday, December 2, 2024

Kefahaman ukur kemiskinan kaedah multidimensi kita masih lemah

Mesti Baca

Oleh DR MOHD KHAIRI ISMAIL dan DR NURUL ASHIKIN ALIAS

KITA semua sedia maklum bahawa pemahaman asas kemiskinan itu adalah tertumpu kepada nilai jumlah pendapatan bagi sesebuah isi rumah. 

Namun, pada hakikatnya, konsep kemiskinan itu sendiri adalah lebih luas dan dapat dilihat dari pelbagai perspektif, sama ada kemiskinan secara relatif, kemiskinan mutlak atau kemiskinan dari pelbagai dimensi. 

Kemiskinan secara relatif merujuk kepada keadaan di mana individu atau kumpulan berada dalam keadaan kekurangan berbanding dengan tahap kesejahteraan yang dinikmati oleh masyarakat sekeliling.

Manakala, kemiskinan dari aspek pelbagai dimensi pula adalah merangkumi aspek bukan hanya pendapatan tetapi juga meliputi akses kepada pendidikan, kesihatan, perumahan dan peluang sosial, yang turut mempengaruhi kualiti hidup individu secara menyeluruh.

Melalui hasil pemerhatian semasa oleh golongan penyelidik mendapati bahawa pengetahuan tentang Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) dalam kalangan rakyat Malaysia masih agak terhad, terutamanya di peringkat masyarakat awam. 

Walaupun kerajaan telah mula mengimplementasikan konsep MPI untuk menilai kemiskinan secara lebih holistik dan menyeluruh. 

Namun, tahap kefahaman dan kesedaran mengenai konsep ini masih belum sepenuhnya tersebar luas di kalangan agensi-agensi kerajaan dan orang ramai. 

Walaupun konsep pengukuran MPI telah diperkenalkan sebagai langkah penting dalam menilai kemiskinan dari sudut yang lebih menyeluruh.

Namun, berdasarkan kajian dan tinjauan yang telah dilakukan mendapati bahawa sebahagian besar masyarakat Malaysia masih melihat kemiskinan melalui ukuran tradisional dan konvensional iaitu hanya pengukuran melalui komponen pendapatan sahaja. 

Ramai yang kurang menyedari bahawa konsep kemiskinan yang lebih luas juga adalah merangkumikepada beberapa komponen penting yang lain sepertikekurangan dalam akses kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan, perumahan, sumber air bersih, dan bekalan elektrik yang mampan. 

Menurut kajian yang dijalankan oleh Institut Kajian Khazanah pada tahun 2022, didapati lebih daripada 60 peratus rakyat Malaysia masih tidak memahami konsep kemiskinan multidimensi dan hubungannya dengan kualiti hidup secara keseluruhan.

Advertisements

Antara faktor yang menghalang penyampaian maklumat berkaitan MPI secara berkesan kepada kepada rakyat Malaysia adalah disebabkan oleh cakupan liputan media yang terhad mengenai konsep ini. 

Tambahan pula, kebanyakan topik perbincangan berkaitan tentang kemiskinan di dalam media massa adalah lebih banyak memfokuskan kepada isu-isu kemiskinan pendapatan dan peningkatan kos hidup yang sering menjadi topik hangat di kalangan masyarakat kerana berkait rapat dengan faktor yang mempengaruhi kesejahteraan kehidupan seseorang individu. 

Manakala, topik kemiskinan multidimensi pula hanya mendapat perhatian dalam kalangan penggubal dasar, ahli ekonomi, dan badan-badan kebajikan. 

Di samping itu, pendidikan mengenai MPI dan komponen-komponen bagi perspektif dimensi yang terlibat adalahtidak begitu ditekankan di peringkat awam atau sekolah, sehingga menyebabkan konsep ini masih begitu asing bagi kebanyakan rakyat Malaysia.

Golongan yang paling terkesan oleh aspek-aspekkemiskinan multidimensi adalah melibatkan komuniti B40 dan penduduk luar bandar. 

Namun, kedua-dua golongan ini mungkin kurang menyedari bahawa mereka mengalami kekurangan dalam pelbagai dimensi kehidupan selain dimensi pendapatan. 

Data daripada Laporan MPI Malaysia pada tahun 2022 menunjukkan bahawa terdapat banyak unit keluarga di Malaysia yangtelah dikategorikan sebagai miskin multidimensi.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila terdapat individu dalam kedua-dua golongan ini tidak mengetahui bentuk sokongan atau bantuan yang layak merekaterima berdasarkan kepada kriteria dimensi MPI.

Kekurangan akses kepada maklumat yang tepat, tahap pendidikan yang rendah, dan peluang ekonomi terhad telah menyumbang kepada kurangnya kesedaran mereka tentang jenis-jenis program bantuan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan dan agensi-agensi yang terlibat melalui pendekatan MPI.

Untuk meningkatkan kesedaran tentang pengukuran kemiskinan berdasarkan kaedah pengukuran MPI dalam kalangan rakyat Malaysia, satu usaha yang lebih besar perlu digembleng bersama daripada pihak kerajaan dan media untuk menyebarluaskan penyampaian berkaitan maklumat konsep ini secara lebih meluas. 

Ini boleh dilakukan melalui kempen kesedaran awam, liputan media yang lebih mendalam, dan integrasi konsep kemiskinan multidimensi ke dalam sistem pendidikan dan program kemasyarakatan. 

Selain itu, penglibatan aktif komuniti dalam program pengurangan kemiskinan yang berasaskan MPI juga dapat membantu meningkatkan pemahaman tentang kemiskinan dari pelbagai dimensi kehidupan, bukan hanya dari aspek kewangan semata-mata.


Penulis merupakan Felo Penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya.
Advertisements

Terkini

ATPC kembang pasaran perubatan global di Indonesia

AGAPE ATP Corporation (ATPC) mengembangkan pasaran perubatan global di Indonesia menerusi tiga memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan institusi...

Lagi Artikel Berkaitan