ENAM anggota Batalion Malaysia (Malbatt) 850 cedera apabila salah sebuah bas yang membawa rombongan mereka terkena letupan dalam kejadian berhampiran Stadium Saida, Lubnan pada pukul 7.54 malam tadi.
Wisma Pertahanan dalam satu kenyataan lewat malam tadi berkata, mereka yang tercedera terdiri daripada lima anggota Malbatt 850-12 manakala seorang lagi anggota Malbatt 850-11.
Kenyataan itu berkata, kenderaan tersebut sedang membawa anggota Malbatt 850-12 dari Beirut ke kem Marakah.
Katanya, letupan tersebut telah menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota berkenaan.
“Akibat kejadian tersebut, seramai enam orang anggota Malbatt 850 mengalami kecederaan iaitu lima anggota melibatkan Malbatt 850-12 mengalami pelbagai cedera ringan termasuk kecederaan di bahagian tangan dan seorang lagi melibatkan anggota MALBATT 850-11 yang juga mengalami cedera ringan,” kata kenyataan itu.
Wisma Pertahanan berkata, anggota yang cedera di tangan telah segera dibawa ke Hospital Hamood di Saida untuk mendapatkan rawatan oleh Pegawai Perubatan Malbatt 850-11.
Katanya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memantau perkembangan situasi tersebut dengan rapi dan akan memaklumkan sebarang kemas kini berkaitan insiden ini dari masa ke semasa.
“ATM kekal komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, seramai 854 anggota Malbatt 850-12 bagi menggantikan Malbatt 850-11 secara berperingkat mulai 6 November lalu.
Beliau berkata, keputusan pertukaran pasukan tersebut dilakukan oleh Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) setelah mengambil kira dengan teliti semua faktor dan situasi.
Mohamed Khaled berkata, pasukan tersebut telah melalui latihan bagi memastikan kesiagaan mereka dan dianggap siap untuk sebarang misi.
Sementara itu media The National melaporkan tiga orang awam terbunuh manakala beberapa anggota tentera Lubnan dan tentera pengaman PBB cedera dalam serangan tersebut.
Mereka yang terbunuh terdiri daripada pemandu dan penumpang yang melalui satu pusat pemeriksaan di Saida, yang kebetulan bas membawa pasukan pengaman itu melepasi kenderaan tersebut.
UNIFIL berkata, pasukan pengaman tersebut baru tiba di Lubnan dan dalam perjalanan ke selatan negara itu. – Edisi 9