28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Bekas pemain PDRM FC jadi penjual ikan secara digital

Mesti Baca

Mampu raih jualan 1,000 kg ikan, 500 kg udang dalam tempoh tiga hari

CYBERJAYA – Sepakan kencang pada satu sesi latihan bola sepak pada malam beberapa hari sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini memberi kepuasan tersendiri kepada Muhammad Rijal Fikry Yusoff. 

Pemuda berusia 27 tahun itu sama sekali tidak menyangka, tendangan yang dianggap hebat itu adalah  ‘detik-detik terakhirnya’ selaku pemain bola sepak profesional bersama PDRM FC yang beraksi dalam Liga Perdana.

Kontraknya ditamatkan oleh skuad The Cops.

Anak muda dari Sik, Kedah tersebut menerima dengan hati terbuka penamatan kontrak tersebut kerana menyedari ia adalah lumrah dalam karier seorang pemain bola sepak profesional. 

Rijal Fikry yang juga bekas pemain UKM FC dan pernah mewakili pasukan remaja negara.

Selepas digugurkan, dia tidak dipanggil menyertai mana-mana kelab lain namun dia enggan meratap nasib yang menimpanya kerana sedar usianya masih muda dan tidak mahu mensia-siakannya.

Bersama seorang lagi pemain Harimau Muda, Asri Mardzuki, dia sudah memulakan perniagaan menjual ikan dan makanan laut dengan membuka sebuah tapak kecil di Sungai Kantan, Kajang, Selangor.

RIJAL FIKRY

Pun begitu usaha tersebut bukan mudah apatah lagi perniagaan tersebut dijalankan ketika dia masih terikat sebagai pemain dan terpaksa membahagikan masa dengan jadual latihan serta perlawanan yang diadakan di tempat lawan.

Kini, selepas tidak lagi bersama The Cops, Rijal Fikry dan Asri menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap perniagaan yang diusahakan, malah mampu menjual sehingga 1,000 kilogram ikan sehari.

Ini semua apabila dia mengubah strategi pemasaran perniagaannya daripada konvensional kepada digital sehingga dia dapat memasarkan hasil jualannya ke kawasan lain di sekitar ibu negara termasuk Bangi, Ampang, Kajang, Cheras, Puchong, Seri Kembangan dan Putrajaya.

“Selepas tiga hari beroperasi, Hero Seafood berjaya menjual hampir 1,000 kg pelbagai jenis ikan, 500 kg udang, sotong dan ketam selain turut menjual lebih 300 ekor ayam kepada pelanggan. Bagi melancarkan operasi, kami telah mengupah lima orang pekerja,” katanya.

Advertisements

Ditanya mengenai rahsia perniagaannya mendapat sambutan memberangsangkan dalam tempoh singkat, dia yang juga pemegang Ijazah Sarjana Sains Sukan dari UKM menjelaskan, perniagaannya menggunakan kaedah pemasaran digital.

“Pelanggan melayari laman sosial Hero Seafood dan membuat tempahan dan pembayaran. Pesanan akan dihantar kepada mereka dalam tempoh kurang dua jam bagi memastikan kesegaran makanan laut yang ditempah,’’ katanya.

Rijal Fikry berkata, pada awalnya dia tidak begitu mahir, bagaimanapun seorang rakannya mencadangkan  dia melayari laman web Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk mempelajari tips pemasaran digital menerusi Go E-Commerce.

“Saya turut melayari saluran YouTube MDEC untuk melihat success story peniaga-peniaga lain yang mendapat bimbingan MDEC untuk adaptasi pendigitalan bagi melonjakkan perniagaan masing-masing,” katanya.

Katanya, pada masa sama, dia bersyukur kerana dapat membantu individu mendapat pekerjaan lebih-lebih lagi dalam suasana tidak menentu ketika pandemik Covid-19 terus ‘menyerang’ negara ini.

Ditanya mengenai perancangan perniagaan, Rijal Fikry memberitahu, Hero Seafood sedang dalam proses untuk menggunakan aplikasi YEZZA untuk menjual produk dan memudahkan perniagaan. 

Beberapa hari lalu, ujarnya syarikat telah melancarkan laman web iaitu https://heroseafood.my yang menawarkan beberapa pakej jualan makanan laut mengikut pilihan pelanggan.

“Saya juga telah mendaftar untuk menyertai program 100 Go Digital anjuran MDEC bagi mendigitalkan perniagaan dan mengatasi gangguan yang wujud akibat situasi semasa,” katanya.

Berhubung dunia bola sepak yang diceburinya sejak di bangku sekolah rendah, Rijal Fikry yang pernah mewakili skuad Piala Presiden Kedah berkata, dia tidak ‘menggantung but’ secara total kerana masih berminat lagi untuk bermain.

“Saya masih menjaga kecergasan dengan membuat latihan larian pada setiap hari namun biarlah masa yang menentukannya.

“Selepas perniagaan stabil, saya turut menimbangkan untuk menyambung pengajian peringkat kedoktoran dalam bidang sains sukan kerana mendapat tawaran dari sebuah universiti tempatan,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Didenda RM30,000 jual RON95 kepada kenderaan asing

SEORANG pemilik sebuah stesen minyak didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang kerana menjual barangan kawalan berjadual petrol RON95 kepada...

Lagi Artikel Berkaitan