CYBERJAYA – Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak dapat menghadiri Mesyuarat Khas ASEAN-China di Chongqing, esok kerana mempunyai kontak rapat dengan seseorang yang positif Covid-19.
Mesyuarat itu akan diwakili oleh Timbalannya, Datuk Kamarudin Jaffar.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Hishammuddin perlu menjalani kuarantin wajib seperti mana ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) walaupun dua ujian PCR yang dijalankan didapati negatif.
“Walaupun Menteri Luar telah menjalani dua ujian PCR yang didapati negatif, di bawah garis panduan yang ditetapkan oleh KKM, Menteri Luar diminta untuk menjalani kuarantin wajib dan pengasingan diri,” kata kenyataan itu hari ini.
Pada masa yang sama, Hishammuddin turut menangguhkan lawatannya ke Mesir, Kuwait dan Qatar dan akan menetapkan satu tarikh baharu yang ditentukan selepas berunding dengan kerajaan negara terbabit.
Wisma Putra berkata, kementerian berkenaan sentiasa bekerjasama dengan rakan sejawat di Mesir, Kuwait dan Qatar bagi tujuan tersebut.
Semalam, kementerian itu memaklumkan bahawa Hishammuddin akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-30 Hubungan Dialog ASEAN-China tersebut.
Beliau juga dijadual bertemu dengan Menteri Luar China, Wang Yi bagi membincangkan isu pencerobohan 16 pesawat milik Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) dikesan memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia. – Edisi 9