24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Isu pencerobohan ruang udara akan dibincang di China

Mesti Baca

CYBERJAYA – Isu pencerobohan tentera udara China ke dalam ruang udara negara akan dibincangkan sempena Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-China pada 7 Jun ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perkara itu akan dikemukakan kepada rakan sejawatannya Wang Yi dalam mesyuarat yang akan berlangsung di Chongqing, China.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, Hishammuddin akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat sempena ulang tahun ke-30 Hubungan Dialog ASEAN-China.

“Semua Menteri Luar ASEAN dan Menteri Luar Wang Yi serta Setiausaha Agung ASEAN dijangka menghadiri mesyuarat itu,” kata kenyataan itu.

Semasa Mesyuarat Khas itu, Menteri Luar ASEAN dan China juga akan bertukar-tukar pandangan dan meneroka kaedah serta kerjasama dalam menangani wabak Covid-19, selain isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama.

Hishammuddin dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan Wang Yi di samping meneroka perkongsian lebih substantif dan dinamik dalam pelbagai bidang.

Ini termasuk kerjasama vaksin Covid-19, pembangunan infrastruktur, kewangan, ekonomi digital, pengeluaran makanan dan pertanian berteknologi tinggi.

Advertisements

Kedua-dua menteri berkenaan juga akan berunding kaedah terbaik untuk memastikan insiden itu tidak berulang demi menjaga keamanan serta kestabilan di Laut China Selatan dan menghindari sebarang kejadian tidak diingini.

Kelmarin, Malaysia memanggil Duta Besar China di Kuala Lumpur dan mengeluarkan nota diplomatik susulan insiden berkenaan.

Pada 31 Mei lalu, sebanyak 16 pesawat milik Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) dikesan memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (MMZ), dan Tentera Udara Diraja Malaysia bertindak menempatkan pesawat tempurnya dan Malaysia mengeluarkan nota diplomatik.

Sementara itu Kementerian Luar berkata, Hishammuddin juga akan menghadiri Forum Diplomasi Antalya yang julung kali diadakan di Antalya, Turki, pada 18-20 Jun.

Ahli Parlimen Sembrong itu juga dijangka mengadakan lawatan kerja ke Mesir, Kuwait dan Qatar.

“Lawatan itu, selain untuk memperkukuh lagi hubungan ia juga memberi peluang untuk mengetengahkan sokongan berterusan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan pendirian konsisten Malaysia berhubung konflik Israel-Palestin,” kata kenyataan tersebut. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan